Wednesday, January 14, 2009

Gerhana Matahari Annulus (cincin) di Indonesia 26 Januari 2009


Gerhana matahari cincin yang merupakan salah satu daripada bidang kajian, ini adalah di antara fenomena alam yang paling menakjubkan. Gerhana matahari berlaku apabila Bulan beredar melalui di antara Bumi dan Matahari. Bayang Bulan akan jatuh ke atas Bumi dan seseorang individu yang berada di dalam bayang Bulan akan melihat Matahari ditutup oleh Bulan. Cahaya Matahari hilang dan tiba-tiba waktu siang menjadi malam. Hanya pada masa gerhana matahari cincin sahaja, merupakan satu-satunya peluang bagi ahli-ahli sains dan astronomi melakukan kajian terhadap atmosfera Matahari dari permukaan Bumi. Kajian terhadap atmosfera Matahari adalah penting bagi memahami sepenuhnya sifat-sifat fizik dan kejadiannya.

Berdasarkan situasi di atas, berbekalkan semangat dan keinginan melihat khazanah ilmu warisan ini kembali menjadi kebanggaan rakyat Malaysia dan INSTUN khasnya Bahagian Ukur dan Pemetaan, Institut Tanah dan Ukur Negara, telah mengambil inisiatif untuk menyertai Jabatan Fizik Universiti Malaya bagi membuat kajian fenomena gerhana matahari di Indonesia yang akan berlaku pada 26 Januari 2009. Gerhana matahari yang berlaku dikenali sebagai Gerhana Matahari Cincin, iaitu ketika peristiwa gerhana terjadi, hanya 92% permukaan matahari yang kelihatan dari bumi yang ditutupi oleh bayangan bulan. Walaupun ia bukan gerhana matahari penuh namun dengan cahaya 8% sahaja yang dapat menembusi kepermukaan bumi. Maka suasana ketika pada masa itu akan kelihatan seperti waktu maghrib. Gerhana Cincin ini hanya akan terjadi atau berlaku di Indonesia sahaja.
PERANCANGAN KAJIAN CERAPAN
Matalamat utama kajian Gerhana Matahari Cincin pada 26 Januari 2009 adalah untuk melakukan cerapan dan merekod proses gerhana Matahari Cincin. Perubahan di sekitar kawasan tempat cerapan juga diperhatikan.

Beberapa perancangan kajian telah digariskan bagi menjayakan kajian ini, yang merangkumi beberapa aktiviti iaitu :
-Pengimejan keseluruhan proses gerhana dengan resolusi yang tinggi.
-Rakaman video resolusi tinggi
-Pengambilan data suhu, kelembapan dan kecerahan langit (sky brightness)
-Pengimejan landskap dengan multi-exposure
-Pengimejan menggunakan pinhole kamera.
-Percubaan pengambilan spektrum Matahari ketika masa sentuhan kedua dan ketiga gerhana matahari

Sunday, December 14, 2008

Cita-Cita dan Harapan




Amateur Astronomical Observatories adalah antara projek yang sedang dalam pembinaan di Institut Tanah dan Ukur Negara. Ia adalah merupakan peralatan asas yang sangat diperlukan oleh ahli Astronomi bagi meneroka satu bahagian kecil di Alam Semesta ini. Peranan utama Balai Cerap Astronomi Amatur ini adalah bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan. Ahli-ahli astronomi masih yakin bahawa semua penyelidikan yang dijalankan melalui balaicerap yang berada di dunia boleh membantu penduduk dunia merungkai misteri atau rahsia kejadian alam semesta.

Bagi ahli astronomi makmalnya adalah Alam Semesta . Rekabentuk balaicerap sangatlah penting. Pada dasarnya rekabentuk balaicerap adalah mengikut saiz teleskop yang hendak digunakan. Untuk membina balaicerap kita mestilah memilih lokasi , ketinggian dari paras laut, keadaan langit berawan, kekerapan hujan, pencemaran cahaya dilangit.

Pendedahan tentang kaedah-kaedah pencerapan dan pengukuran astronomi perlu disasarkan kepada masyarakat. Ini adalah penting bagi menimbulkan minat mereka dalam bidang astronomi. Pendedahan ini juga dapat memberangsangkan minda masyarakat untuk memikirkan tentang kejadian alam semesta . Pemerhatian tentang ketertiban atau teraturnya pergerakan jasad-jasad samawi di langit seperti matahari, bulan, planet-planet, bintang-bintang, galaksi dan lain-lain jasad di langit.

Proses merakamkan kewujudan objek di angkasa di namakan Astrofotografi selain daripada planet, komet, asteroid dan meteoroid, angkasa juga dipenuhi dengan pelbagai objek messier. Komposisi objek messier terdiri daripada galaksi, nabula dan kluster yang setiap satu merupakan entiti alam yang menarik.

Galaksi adalah kumpulan berjuta-juta bintang yang diikat padu oleh gravity bersama-sama dengan gas dan debu angkasa. Sistem suria terletak di dalam galaksi yang dinamakan Bima Sakti.

Nebula ialah kumpulan gas di antara kumpulan bintang yang berpadu dengan debu angkasa. Tarikan gravity antara bintang menyebabkan gas berkenaan dan debu angkasa terperangkap pada satu kelompok. Nebula akan membalikkan sinar-sinar cahaya bintang yang berdekatan dengannya.


Kluster pula ialah sekumpulan bintang-bintang yang berada pada kelompak yang sama diangkasa, secara fizikal kluster dilihat berserakan, tetapi sebenarnya berasal dari satu kejadian yang sama.
Itulah cita-cita dan harapan dalam hasrat untuk mengapai impian, demi untuk memertabatkan Astronomi. Pada 21 November 2008 Kembara Falak Instun telah mengembara ke Balai Cerap CK Lim di Pulau Betong bagi mencari sedikit ilmu yang terlalu banyak untuk dipelajarai, sekurang-kurangnya dengan dua malam yang ada dapatlah Kembara Falak Instun mencari, menerokai idea bagi meneruskan pembelajaran ilmu Astro
nomi yang semakin kita belajar semakin banyak benda yang kita tidak tahu.
Antara yg hadir ialah Dr. Chong dan pelajar-pelajar USM



Selama 3 hari di Pualu Betong, Pulau Pinang Kembara falak mempelajari kaedah pelancaran Roket air dan mempelajari pembuatan roket. Terima kasih Mr Lim kerana meghadiahkan kami dua pelancar roket.
Mr mymoon(Encik Aziz) antara pecinta Astrofotografi yang banyak membantu Kembara Falak. Ardu Balad sedang buat 2 aligment Star.

Seven Sisters dirakamkan oleh Encik Mohd A’bduh Jailani dengan equatorial mount beserta teknik drift dengan di bantu oleh CK Lim

Wednesday, November 19, 2008

Penetepan Hari Raya Idul Adha



Asas pembentukan takwim hijiriah di Malaysia pada masa ini adalah berdasarkan kepada Takwim Imkanur-Rukyah. Begitu juga dengan penentuan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah.

Kaedah yang digunakan dalam menentukan Idul Adha yang berpandukan kepada Hari Wukuf di Arafah telah dipinda kepada kaedah rukyah dan hisab berdasarkan Imkanur-Rukyah. Kaedah ini adalah selaras dengan kaedah penentuan awal Ramadhan dan Syawal. Mesyuarat Jawatankuasa menetapkan awal Puasa dan Hari Raya Aidil Fitri yang diadakan pada 4 November 1991 telah mengambil keputusan iaitu :


Hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat-syarat berikut :

(a) Ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang daripada 2 darjah dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang 3 darjah.

ATAU

(b) Ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam (selepas ijtimak berlaku)


Kaedah penentuan awal bulan Zulhijjah bagi menyambul Idul-Adha telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja keli ke 167 pada 16 Jun 1994.

Pada 10 Mei 1995 kerajaan Malaysia telah mula menyambut Hari Raya Idul Adha dengan kaedah baru bersama-sama dengan negara MABIMS (Berunai, Indonesia, Malayisa dan Singapura)


Menurut Ustaz Mohd Faizal Jani- Jabatan Mufti Perak dalam kertas kerja seminar falak syarie 2007 yang diadakan di Institut tanah dan Ukur Negara.

Sebuah hadis dari Abdul Rahman bin Ya’mur :
" أن أناسا من أهل نجد أتوا رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو بعرفة فسألوه فأمر مناديا فنادى الحج عرفة.."
Imam al-Tirmizi.Sunan al-Tirmizi. Kitabul Haji an Rasulullah saw. hadis no. 889 http://www.islamweb.net/


Bermaksud : “ Ada beberapa lelaki daripada ahli Najd berjumpa dengan Rasul saw, dan ketika itu Rasul SAW berada di Arafah. Maka mereka bertanya kepada Rasul SAW ( mengenai haji ). Kemudian Rasul SAW memerintahkan seorang penyeru, maka berserulah dia "..الحج عرفة.."
( Riwayat Tarmizi )

Berdasarkan hadis ini sebahagian ulama’ menyatakan hari Raya Idul Adha ( 10 Zulhijjah ) ditetapkan berdasarkan tarikh wukuf di Arafah ( 9 Zulhijjah ). Bermakna seluruh dunia Islam akan merayakan Idul Adha berdasarkan tarikh pengisytiharan wukuf di Arafah, tanpa perlu menentukan kedudukan hilal di negara masing-masing. Penetapan ini dibuat atas kesatuan umat.

Namun sebahagian ulama’ masih berpegang kepada kedudukan hilal di negara masing-masing. Ini kerana alasan-alasan berikut :

Maksud dari hadis Abdul Rahman Ibn Ya’mur bermaksud ibadah haji itu sah bagi sesiapa yang dapat wukuf di Arafah. Ia bukan bererti hari raya Idul Adha perlu mengikut tarikh wukuf di arafah.
Untuk lebih jelas lagi terdapat satu hadis yang lebih khusus menyentuh keperluan merukyah untuk menentukan hari raya Idil Adha. Ia dari Ummu Salamah iaitu :

" أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا رأيتم هلال ذى الحجة, وأراد أحدكم أن يضحى, فليمسك عن شعره وأظفاره"


Bermaksud : “ Apabila kamu melihat Hilal Zulhijjah dan di kalangan kamu yang mahu berqurban maka hendaklah dia ( orang yang hendak melakukan qurban itu ) jangan membuang rambut dan kukunya.”
Yusuf Al-Qaradawi & Faysal Mawlawi.Eid Al-Adha & the Muslims' Unity. http://www.islamonline.net
http://www.dorar.net/hadith.php

( Riwayat Jamaah kecuali Bukhari )

Masa bermulanya qurban itu ialah pada 10 Zulhijjah dan diikuti 11,12 dan 13 Zulhijjah seperti mana yang di sebutkan dalam hadis dari Abi Hurairah r.a:

" الصوم يوم تصومون والفطر يوم تفطرون والأضحى يوم تضحون."

Bermaksud : Bahawa Nabi saw telah bersabda : “ Berpuasa pada hari kamu berpuasa ( Ramadan ), hari raya (Idil Fitri) pada hari kamu berhari raya ( Syawal ), dan hari raya ( Idil Adha ) pada hari kamu menyembelih ( berqurban).”
( Riwayat Tirmizi )

Hadis ini memberikan kita petunjuk bahawa untuk menetapkan tarikh qurban ( Idil Adha ) kita perlu merukyah hilal Zulhijjah (إذا رأيتم هلال ذى الحجة, وأراد أحدكم أن يضحى ). Hadis Abu Hurairah ini menetapkan ibadah qurban itu bermula dari Hari Idil Adha iaitu 10 Zulhijjah dan seterusnya hari-hari tasyrik iaitu 11,12, dan 13 Zulhijjah. Ia juga menunjukkan masa ibadah Qurban ditempat selain Arab Saudi itu tidak terikat dengan masa wukuf di Arafah.

Kaedah rukyah untuk mensabitkan hari Idil Adha ini merupakan satu kaedah yang mesti dilakukan di setiap negeri Tentunya bagi negara yang berjauhan perlu menjalankan rukyahnya sendiri dan tidak terikat kepada perisytiharan wukuf di Arafah.


Imam al-Tirmizi.Sunan al-Tirmizi. Kitabul Shaum an Rasulullah saw. hadis no. 697 http://www.islamweb.net/. Berkata Imam Tirmizi hadis ini adalah Hasan Gharib.

Wednesday, November 5, 2008

AWEE WINGS & JOE WINGS




Kembara Falak pada 20 Oktober 2008 telah mengadakan pameran di Paya Indah Wetland di Dengkil Selangor dan terima kasih kepada semua kakitangan Paya Indah Wetland di atas layanan anda semua dan kerana sudi membawa kami melawat sekitar kawasan. Terima kasih juga kepada Awee -WINGS dan Joe-WINGS yang melawat gerai pameran kami.

Berikut adalah sambungan penceritaan daripada Taqwim Syamsi dan Taqwim Qamari yang ditulis sebelum ini.

Pada prinsipnya sesuatu bulatan mengandungi 360°. Dalam ilmu Falak bulatan Angkasa ini dibahagi kepada dua, setiap bahagian mengandungi 180°. Matahari atau bulan yang bergerak menerusi 180° yang pertama dinamakan matahari atau bulan Utara dan ketika bergerak menerusi 180° yang kedua dinamakan matahari atau bulan Selatan.

- Matahari bergerak menghabisi 360° ini dengan mengambil masa selama 365.2422 hari (365 hari 08 jam 48.58minit) atau 0.9687° dalam masa 24 jam.
- Bulan bergerak menghabisi 360° dalam masa 27.32158 hari (27 hari 07jam 43minit) atau 13.1764° dalam masa 24jam.
- Bagaimana pun pergerakan bulan selama 27.32158 hari ini tidak cukup bagi satu pusingan ijtimak. Pusingan ijtimak ialah 29.5306hari (29hari 12jam 44minit). 12 kali pusingan ijtimak mengambil masa 354.3671 hari (354hari 08jam 48.6minit)

Perbezaan masa antara gerakan matahari dan bulan sebanyak 10.8751 hari (10 hari 21 jam 0.14minit). (365.2422-354.3671 = 10.8751). Ia akan meningkat kepada 3 tahun gerakan bulan selama 100 tahun gerakan matahari atau 9 tahun gerakan bulan dalam masa 300 tahun gerakan matahari. Dengan ini boleh diambil kira dalam masa 300 tahun gerakan matahari adalah bersamaan dengan 309 tahun gerakan bulan.
¨Mereka itu diam dalam gua tiga ratus tahun lamanya dan bertambah
Lagi sembilan tahun¨ (surah Al-Khafi ayat 25)
Sambung.....

Tuesday, November 4, 2008

Perjalanan Syawal - ZulKaedah



Selepas dapat menunaikan puasa 6 hari dalam bulan syawal dan telah pun kembali bertugas, kembara falak seperti insan-insan yang lain, menerima kunjungan teman-teman juga mengunjungi rumah sahabat-sahabat untuk berhari raya. Sekarang pula meninjau untuk majlis Qurban di Aidil Adha. Kembara falak juga ada menerima jemputan dari Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi mengadakan Pameran sempena Program Pengenalan Falak Dan Astronomi Peringkat Sekolah-Sekolah Negeri Selangor yang akan diadakan di Anggerik Mall, Shah Alam pada 8 November 2008.


Sambil itu jari jemari Kembara Falak terus menaip perkataan demi perkataan.
Tahun Syamsi dan Qamari - Tahun Masihi adalah berdasarkan pergerakan matahari manakala tahun Hijri adalah semata-mata berdasarkan pergerakan Bulan iatu selepas 17 tahun Hijrahtul Rasulallah (saw) daripada Mekah al-Mukaramah ke bandar Yathrib (Madinah al-Munawarah) pada umur Baginda saw 52 tahun.
"Dan (suatu keterangan juga bagi mereka) matahari, ia berlari (beredar) hingga tempat tetapnya. Itulah takdir (aturan Allah) yang Mahaperkasa lagi Mahamengetahui" (Yassin ayat 38)

-Matahari yang kelihatan dari bumi seakan beredar di atas garisan di angkasa dan melalui 12 gugusan bintang dalam masa satu tahun matahari.

"Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. dan Dia menundukkan matahri dan bulan (untuk kepentinganmu), masing-masing berlari (beredar), hingga waktu yang ditentukan. Itulah Allah Tuhanmu, baginya semua kerajaan. Orang-orang (berhala) yang kamu sembah selain daripada Allah, tiada mempunyai sebesar kulit tipispun (sedikitpun)" (Surah AlFaathir ayat 13)

-Berlainan dengan gerakan bulan yang melintasi kesemua sekali 12 gugusan bintang yang sama hanya mengambil masa satu bulan gerakan bulan.


"Sesungguhnya telah Kami jadikan buruj di langit dan Kami hiasi di untuk orang2 yang melihatnya" (Surah Al-Hijr ayat 16)

"Mahasuci yang menjadikan buruj di langit, dan mengadakan di sana pelita yang besar (matahari) dan bulan yang menerangi" (Surah Al-Furqan ayat 61)
- Gugusan bintang ini dikenali dengan BURUJ (Constellation)


Wednesday, October 22, 2008

ASTRONOMY CONVENTION & EXPO

ASTRONOMY CONVENTION & EXPO UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS 2008 “EXPLORE OUR UNIVERSE, MILLIONS OF KNOWLEDGE










Dari Kiri Ustaz Zambri Ismail (Jab.Mufti Perak), Mahruzaman Misran (INSTUN), Prof.Madya Dr.Mustaffa Ahmad (Dekan Fakluti Sains & Teknologi UPSI, Prof.Dr.Zambri Zainuddin (Universiti Malaya), Dr.Razak Abd.Samad Yahya (UPSI

Setelah beberapa kali bermesyuarat di bulan Ramadhan akhirnya berlangsung lah ASTRONOMY CONVENTION & EXPO (ACE) pada 11 dan 12 Oktober 2008. Program berkenaan adalah anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama INSTUN dan Jabatan Mufti Perak.

Di bawah ini dimuatkan Parakata Pengarah Instun dibuku cederahati sempena ASTRONOMY CONVENTION & EXPO UPSI 2008

Astronomi atau ilmu falak adalah merupakan salah satu ilmu yang tertua di dunia ini. Boleh dikatakan terdapat banyak sekali cabang-cabang ilmu yang timbul dari ilmu ini. Rasa ingin tahu manusia terhadap fenomena falak seperti kejadian siang dan malam, perubahan musim dan cuaca mendorong manusia mencari rahsia di sebalik apa yang dilihat dengan mata kasar. Aktiviti-aktiviti harian mereka terhadap jasad-jasad samawai di angkasa menyebabkan berkembangnya ilmu falak. Tidak salah jika dikatakan bahawa ilmu falak menjadi faktor terpenting dalam menjana ketamadunan manusia.

Di Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) satu kajian iaitu Kajian Kenampakan Hilal telah dilaksanakan bermula dari tahun 2006 sehingga sekarang. Dua tempat kajian telah dilaksanakan iaitu di Baitul Hilal, Pasir Panjang (tempat cerapan Hilal rasmi bagi negeri Perak) dan di Pelantar Rukyah Hilal di Institut Tanah dan Ukur Negara (sebagai tempat kajian cerapan hilal tanah tinggi)

Adalah diharap Konvensyen dan Expo Astronomi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2008 ini dapat memindahkan pengalaman institusi Astronomi/Falak di Malaysia untuk dikembangkan dalam masyarakat, mewujudkan jaringan harmonis antara pelbagai institusi falak, Jabatan kerjaan dan institusi pengajian dalam mengembangkan ilmu ini dalam dunia pendidikan- Pengarah INSTUN

Falak INSTUN juga telah mengambil Bahagian dalam Konvensyen berkenaan yang berlangsung selama selama dua hari, tahniah kepada petugas pameran Puan Hummidah Mahmud, Encik Mohd Imam Ma’arof Soa’ib, Encik Kamrudin Kosnan, Puan Tun Zarina, Puan Arbaiah, Encik Mohd Hafiz. Kepada Jurukamera Encik Mohd Abduh dan Encik Nor Azlan juga kepada urusetia Astrorace Encik Muhammad Kenidi dan Encik Azahar Riza. Petugas penginapan Encik Faizil, Encik Hazari dan Encik Azani (yang bertugas dari petang sehingga larut malam), Serta terima kasih yang tidak terhingga kepada Ketua Bahagian Ukur dan Pemetaan yang memberi sokongan dan dorongan serta membentangkan kertas kerja dalam sessi seminar pada hari berkenaan.


Diantara program yang dilaksanakan pada hari-hari berkenaan adalah :

1. Pembentangan 6 kertas kerja dalam seminar
2. Acara Astrorace
3. Peraduan Mewarna
4. Bengkel Peta Bintang
5. Bengkel Pembinaan Roket Air
6. Pertandingan Roket Air
7. Pameran
8. Kuiz
9. Pencerapan Planet

Pada malamnya diadakan sessi pencerapan langit malam, Falak Instun mendirisiapkan dua teleskop dan mendapat sambutan yang baik. Program berakhir pada jam 01.00 pagi.







Sunday, August 24, 2008

Mengimbau Kenangan Ramadhan 1428H.




Terlebih dahulu ardul al-balad ucapkan terimakasih di atas kesudian pembaca semua kerana sudi menatap coretan dari Falak Syarie - Kembara Falak. Berita Falak pada mulanya ditulis sekadar berkongsi cerita dengan pembaca akan aktiviti yang Kembara Falak INSTUN sertai. Aktiviti berkenaan adalah aktiviti Bahagian Ukur dan Pemetaan Instun. Terasa bersyukur kerana semakin banyak aktiviti yang kami sertai, semakin banyak perkara yang kami dapat belajar, Jika dahulu sangat sukar bagi ardul al-balad mendongak kelangit walaupun sesaat tapi hari ini ardul al-balad berjalan di bumi dan tidak lupa akan keindahan taburan objek-objek samawi di langit. Pembaca hendak tahu baru terasa kita insan yang kerdil yang menumpang di bumi yang juga tidak seluas mana. Cuba kita bayangkan langit kita gelap, kita akan berkata langit gelap hujan akan turun, cuaca panas oleh pancaran matahari, pokok bergoyang sebab angin bertiup, sebenarnya kita ini begitu rapat dengan alam kita ini, alam sentiasa menyapa kita….aku di sini….aku terasa sesuatu…aku bawa sesuatu…….(kata alam) kita kata kita kawan alam kenapa tidak kita kenalinya dengan lebih dekat.

Kembara Falak akan meneruskan coretannya jika ada perkara yang hendak dicerita. Alhamdulilah Falak Syarie- Kembara falak akan lebih meriah lagi di atas kesudian Ustaz Hanafiah Abd.Razak dari jabatan Mufti Johor yang menyumbangkan cerita bagi kita kongsi bersama…..dan ingat bagi peminat Falak cerita ustaz Hanafiah Abd.Razak ada pengajaran dan ada ilmu untuk terus kita selongakar sebagai kajian.

Dibawah ini disertakan Sudut Istilah Ilmu Falak untuk kita biasa-biasakan agar lebih mesra.

Sudut Kamus Istilah Ilmu Falak

ARDH : Bumi, salah satu di antara sembilan planet pengikut matahari. Orang inggeris menyebutnya Earth, sementara orang Yunani menyebut nya GEO.

ASAD : Salah satu rasi (Buruj / Constellation) di antara 12 rasi bintang tetap (ATS_TSAWAABIT) yang terletak dalam MINTHAQAH AL_BURUJ (ZODIAC). Rasi ini berada pada turutan kelima , Didalam dunia Astronomi terkenal dengan istilah LEO. Orang Yunani mengkhyalkannya bagai gambar singa.


Ramadhan 1429H akan kunjung tiba, di bawah ini disertakan coretan Ustaz Hanapiah Abd.Razak sebagai mengimbau kenangan Ramadhan 1428H.


Coretan Khas Misi Menghantar Beras Ke Pulau Aur dan Pemanggil
Oleh : Haji Hanafiah bin Abdul Razak

Seawal jam 11.30 pagi , hari sabtu 24 Ramadhan 1428 bersamaan 6 Oktober 2007 , kami berempat dari Jab. Mufti , Jab. Agama dan Majlis Agama Islam Johor di bawah seliaan krew dari Unit Polis Merin Johor Selatan yang di ketuai oleh Sarjan Samion berlepas pergi dari jeti Tanjung Puteri. Sejam kemudian kapal yang saya naiki PX 8 dengan muatan anak kapal Polis Merin seramai 14 anggota mula memasuki perairan Laut Cina Selatan .


Perjalanan agak lancar kerana mengikut arus lautan yang air sedang surut setelah pasang di awal pagi .Angin kering dari arah selatan bertiup perlahan angin yang kurang di senangi oleh tokoh – tokoh pelayaran Islam zaman silam
[1] kerana angin ini kering dan menyebabkan perubahan cuaca yang tidak menentu , tambahan pula berasaskan hadis Rasulullah SAW bahawa angin selatan di kenali dengan nama addabur [2] awan sirus atau dalam istilah ahli geografi Islam zaman silam di sebut al-Ghamam [3]kerana ia nipis akan tetapi menutup jasad-jasad langit dari kelihatan dimalam hari . Awan ini kelihatan memenuhi ruang kubah langit yang membiru pada kedudukan kordinat Ardu al- Balad ( Garis Lintang ) : 1darjah 45minit Utara dan Tol al – Balad ( Garis Bujur ) : 104darjah 20minit timur.

Suasana tiba-tiba berubah pada jam 3.30 petang pada pada kedudukan kordinat Ardu al- Balad ( Garis Lintang ) : 2 darjah 10 minit Utara dan Tol al – Balad ( Garis Bujur ) : 104darjah 22minit timur . berdekatan dengan Pulau U, terasa angin sejuk dan berkabus , mula kelihatan awan al-Namrah
[4] yang dinamakan oleh ahli geografi Islam zaman silam kerana ia berputus – putus dan membentuk kelompok-kelompok awan kecil menewaskan penguasaan awan al-Ghamam di ruang kubah langit. Awan al-Namrah ini sedang rancak bergerak ke arah barat menuju pantai timur Negeri Johor . Saya teringat kata guru saya apabila al-Namrah bergerak ia akan berhimpun sama dan membentuk awan al-Arad atau al-Arid dan sekiranya rendah ia membentuk awan al-Aras yang mengandungi guruh dan petir adakah hujan akan turun 24 jam dari waktu itu ( petang 7 Oktober , 25 Ramadhan di Bandar Johor Bahru ? . Tiba-tiba deringan talipon panggilan dari Ustz Ramley Jusoh memberi tahu hujan tidak begitu lebat turun di Rumahnya ( Johor Bahru ) pada jam 4.14 petang , bertanya khabar adakah malam ini akan berlaku Lailah al-Qadar kerana nampak tanda-tandanya , tambahan pula malam nanti adalah malam 25 ramadhan , kalau ikut keadah Imam al Ghazali puasa tahun ini lailah al Qadar iailah malam 25 ramadhan ! Tidak lebih dari 10 Bot Nelayan yang kami lihat sepanjang kami merentasi laut Cina Selatan menuju ke Pulau Aur dengan Azimuth ( sudut ) 22 darjah.

Perubahan angin ini dikenali dengan istilah al-Mutanawihah
[5]. Satu penemuan baru iaitu perubahan angin mengakibatkan perubahan awan , maka angin berkadar terus dengan awan . Biasanya angin mendahului awan , walau bagimanapun pada banyak keadaan ia serentak bergerak seiringan.
Pada jam 6.15 petang baru kelihatan Pulau Aur dek kerana kabus pada jarak 45 batu nautika . Sarjan Samion memberi tahu saya ‘ Kita perlukan satu jam lagi untuk tiba di jeti Pulau Aur , maka kita akan berbuka puasa seadanya di atas kapal jam 6.53 malam ‘ .

Kapal PX 8 berlabuh di jeti Pulau Aur jam 7.20 malam setelah hampir setengah jam berbuka puasa . 150 kampit beras di punggah untuk keperluan penduduk Pulau Aur yang 100 peratus adalah beragama Islam . Misi kali ini tiba lebih awal sebelum datangnya munsun timur laut yang mengakibatkan penduduk pulau terputus hubungan selama hampir 5 bulan .


Azan Isyak kedengaran jam 8.12 malam , saya bergegas ke Masjid Pulau Aur kampong batu berhala ( Batu Berhaluan ke Arah Utara ) . Solat Fardhu Isyak dan Solat Sunat Terawih di Masjid Kayu bertangga 3 anak tangga sungguh menakjubkan , dengan kelengkapan yang ala kadar akan tetapi terasa angin sejuk sepoi – sepoi bahasa di sebut oleh tokoh – tokoh pelayaran Islam zaman silam dengan nama al-Nasiim . Imam Harun menjelaskan angina ini datang dari arah timur iaitu dari tanah tinggi Pulau tersebut , akan tetapi kalau sebut angin timur ia bertindak ganas ? Tertanya-tanya sesama sendiri Lailah al-Qadar ! al-Nasiim terus bertiup dengan mesranya melayan air laut kian surut dan akan pasang semula seawal jam 4 pagi nanti.


Selepas selesai solat Fardhu subuh puas rasanya berbincang tentang cuaca dan perubahan angin di Pulau Aur . Matahari terbit kami berada di jeti Pulau Aur , kelihatan Awan al-Qala’
[6] mula menutupi kemuncak gunung di pulau tersebut . Imam Harun menyapa kepada saya hujan akan turun Ustaz ! saya nyatakan pada pengamatan yang di lihat hujan bukit sahaja kerana awan al-Qala’ tidak berginjak sekadar bertapa di kepala gunung sahaja .
Pada kacamata Imam Harun yang telah berusia 64 tahun dan di lahirkan di pulau tersebut menjelaskan bahawa Pulau di hadapan Pulau Aur iaitu Pulau Dayang semakin membesar dengan dua hujjah yang di kemukakan iaitu laut di sekitarnya semakin cetek dan air surut semakin jauh dari tempat biasa . Dia menmbah lagi bahawa batu karang semakin tertimbus dek pasir yang datang di bawa arus . Tidak timbul soal kepupusan batu karang kerana ancaman tapak sulaiman akan tetapi di timbus pasir jelas Imam Harun lagi .
[1] Lihat Nihayah al-Adab Oleh al –Imam Shihabuddin , halaman 94 , Darul Kutub al-Misriah.
[2] Lihat Hadis Rasulullah SAW : Aku mendapat pertolongan dengan angina Assoba dan di binasakan kaum Ad dengan angina addabur .
[3] Lihat Nihayah al-Adab Oleh al –Imam Shihabuddin , halaman 71 , Darul Kutub al-Misriah.
[4] Lihat Nihayah al-Adab Oleh al –Imam Shihabuddin , halaman 71 , Darul Kutub al-Misriah.
[5] Lihat Nihayah al-Adab Oleh al –Imam Shihabuddin , halaman 95 , Darul Kutub al-Misriah.
[6] Lihat Nihayah al-Adab Oleh al –Imam Shihabuddin , halaman 72 , Darul Kutub al-Misriah.