Sunday, December 14, 2008

Cita-Cita dan Harapan




Amateur Astronomical Observatories adalah antara projek yang sedang dalam pembinaan di Institut Tanah dan Ukur Negara. Ia adalah merupakan peralatan asas yang sangat diperlukan oleh ahli Astronomi bagi meneroka satu bahagian kecil di Alam Semesta ini. Peranan utama Balai Cerap Astronomi Amatur ini adalah bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan. Ahli-ahli astronomi masih yakin bahawa semua penyelidikan yang dijalankan melalui balaicerap yang berada di dunia boleh membantu penduduk dunia merungkai misteri atau rahsia kejadian alam semesta.

Bagi ahli astronomi makmalnya adalah Alam Semesta . Rekabentuk balaicerap sangatlah penting. Pada dasarnya rekabentuk balaicerap adalah mengikut saiz teleskop yang hendak digunakan. Untuk membina balaicerap kita mestilah memilih lokasi , ketinggian dari paras laut, keadaan langit berawan, kekerapan hujan, pencemaran cahaya dilangit.

Pendedahan tentang kaedah-kaedah pencerapan dan pengukuran astronomi perlu disasarkan kepada masyarakat. Ini adalah penting bagi menimbulkan minat mereka dalam bidang astronomi. Pendedahan ini juga dapat memberangsangkan minda masyarakat untuk memikirkan tentang kejadian alam semesta . Pemerhatian tentang ketertiban atau teraturnya pergerakan jasad-jasad samawi di langit seperti matahari, bulan, planet-planet, bintang-bintang, galaksi dan lain-lain jasad di langit.

Proses merakamkan kewujudan objek di angkasa di namakan Astrofotografi selain daripada planet, komet, asteroid dan meteoroid, angkasa juga dipenuhi dengan pelbagai objek messier. Komposisi objek messier terdiri daripada galaksi, nabula dan kluster yang setiap satu merupakan entiti alam yang menarik.

Galaksi adalah kumpulan berjuta-juta bintang yang diikat padu oleh gravity bersama-sama dengan gas dan debu angkasa. Sistem suria terletak di dalam galaksi yang dinamakan Bima Sakti.

Nebula ialah kumpulan gas di antara kumpulan bintang yang berpadu dengan debu angkasa. Tarikan gravity antara bintang menyebabkan gas berkenaan dan debu angkasa terperangkap pada satu kelompok. Nebula akan membalikkan sinar-sinar cahaya bintang yang berdekatan dengannya.


Kluster pula ialah sekumpulan bintang-bintang yang berada pada kelompak yang sama diangkasa, secara fizikal kluster dilihat berserakan, tetapi sebenarnya berasal dari satu kejadian yang sama.
Itulah cita-cita dan harapan dalam hasrat untuk mengapai impian, demi untuk memertabatkan Astronomi. Pada 21 November 2008 Kembara Falak Instun telah mengembara ke Balai Cerap CK Lim di Pulau Betong bagi mencari sedikit ilmu yang terlalu banyak untuk dipelajarai, sekurang-kurangnya dengan dua malam yang ada dapatlah Kembara Falak Instun mencari, menerokai idea bagi meneruskan pembelajaran ilmu Astro
nomi yang semakin kita belajar semakin banyak benda yang kita tidak tahu.
Antara yg hadir ialah Dr. Chong dan pelajar-pelajar USM



Selama 3 hari di Pualu Betong, Pulau Pinang Kembara falak mempelajari kaedah pelancaran Roket air dan mempelajari pembuatan roket. Terima kasih Mr Lim kerana meghadiahkan kami dua pelancar roket.
Mr mymoon(Encik Aziz) antara pecinta Astrofotografi yang banyak membantu Kembara Falak. Ardu Balad sedang buat 2 aligment Star.

Seven Sisters dirakamkan oleh Encik Mohd A’bduh Jailani dengan equatorial mount beserta teknik drift dengan di bantu oleh CK Lim

Wednesday, November 19, 2008

Penetepan Hari Raya Idul Adha



Asas pembentukan takwim hijiriah di Malaysia pada masa ini adalah berdasarkan kepada Takwim Imkanur-Rukyah. Begitu juga dengan penentuan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah.

Kaedah yang digunakan dalam menentukan Idul Adha yang berpandukan kepada Hari Wukuf di Arafah telah dipinda kepada kaedah rukyah dan hisab berdasarkan Imkanur-Rukyah. Kaedah ini adalah selaras dengan kaedah penentuan awal Ramadhan dan Syawal. Mesyuarat Jawatankuasa menetapkan awal Puasa dan Hari Raya Aidil Fitri yang diadakan pada 4 November 1991 telah mengambil keputusan iaitu :


Hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat-syarat berikut :

(a) Ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang daripada 2 darjah dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang 3 darjah.

ATAU

(b) Ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam (selepas ijtimak berlaku)


Kaedah penentuan awal bulan Zulhijjah bagi menyambul Idul-Adha telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja keli ke 167 pada 16 Jun 1994.

Pada 10 Mei 1995 kerajaan Malaysia telah mula menyambut Hari Raya Idul Adha dengan kaedah baru bersama-sama dengan negara MABIMS (Berunai, Indonesia, Malayisa dan Singapura)


Menurut Ustaz Mohd Faizal Jani- Jabatan Mufti Perak dalam kertas kerja seminar falak syarie 2007 yang diadakan di Institut tanah dan Ukur Negara.

Sebuah hadis dari Abdul Rahman bin Ya’mur :
" أن أناسا من أهل نجد أتوا رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو بعرفة فسألوه فأمر مناديا فنادى الحج عرفة.."
Imam al-Tirmizi.Sunan al-Tirmizi. Kitabul Haji an Rasulullah saw. hadis no. 889 http://www.islamweb.net/


Bermaksud : “ Ada beberapa lelaki daripada ahli Najd berjumpa dengan Rasul saw, dan ketika itu Rasul SAW berada di Arafah. Maka mereka bertanya kepada Rasul SAW ( mengenai haji ). Kemudian Rasul SAW memerintahkan seorang penyeru, maka berserulah dia "..الحج عرفة.."
( Riwayat Tarmizi )

Berdasarkan hadis ini sebahagian ulama’ menyatakan hari Raya Idul Adha ( 10 Zulhijjah ) ditetapkan berdasarkan tarikh wukuf di Arafah ( 9 Zulhijjah ). Bermakna seluruh dunia Islam akan merayakan Idul Adha berdasarkan tarikh pengisytiharan wukuf di Arafah, tanpa perlu menentukan kedudukan hilal di negara masing-masing. Penetapan ini dibuat atas kesatuan umat.

Namun sebahagian ulama’ masih berpegang kepada kedudukan hilal di negara masing-masing. Ini kerana alasan-alasan berikut :

Maksud dari hadis Abdul Rahman Ibn Ya’mur bermaksud ibadah haji itu sah bagi sesiapa yang dapat wukuf di Arafah. Ia bukan bererti hari raya Idul Adha perlu mengikut tarikh wukuf di arafah.
Untuk lebih jelas lagi terdapat satu hadis yang lebih khusus menyentuh keperluan merukyah untuk menentukan hari raya Idil Adha. Ia dari Ummu Salamah iaitu :

" أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا رأيتم هلال ذى الحجة, وأراد أحدكم أن يضحى, فليمسك عن شعره وأظفاره"


Bermaksud : “ Apabila kamu melihat Hilal Zulhijjah dan di kalangan kamu yang mahu berqurban maka hendaklah dia ( orang yang hendak melakukan qurban itu ) jangan membuang rambut dan kukunya.”
Yusuf Al-Qaradawi & Faysal Mawlawi.Eid Al-Adha & the Muslims' Unity. http://www.islamonline.net
http://www.dorar.net/hadith.php

( Riwayat Jamaah kecuali Bukhari )

Masa bermulanya qurban itu ialah pada 10 Zulhijjah dan diikuti 11,12 dan 13 Zulhijjah seperti mana yang di sebutkan dalam hadis dari Abi Hurairah r.a:

" الصوم يوم تصومون والفطر يوم تفطرون والأضحى يوم تضحون."

Bermaksud : Bahawa Nabi saw telah bersabda : “ Berpuasa pada hari kamu berpuasa ( Ramadan ), hari raya (Idil Fitri) pada hari kamu berhari raya ( Syawal ), dan hari raya ( Idil Adha ) pada hari kamu menyembelih ( berqurban).”
( Riwayat Tirmizi )

Hadis ini memberikan kita petunjuk bahawa untuk menetapkan tarikh qurban ( Idil Adha ) kita perlu merukyah hilal Zulhijjah (إذا رأيتم هلال ذى الحجة, وأراد أحدكم أن يضحى ). Hadis Abu Hurairah ini menetapkan ibadah qurban itu bermula dari Hari Idil Adha iaitu 10 Zulhijjah dan seterusnya hari-hari tasyrik iaitu 11,12, dan 13 Zulhijjah. Ia juga menunjukkan masa ibadah Qurban ditempat selain Arab Saudi itu tidak terikat dengan masa wukuf di Arafah.

Kaedah rukyah untuk mensabitkan hari Idil Adha ini merupakan satu kaedah yang mesti dilakukan di setiap negeri Tentunya bagi negara yang berjauhan perlu menjalankan rukyahnya sendiri dan tidak terikat kepada perisytiharan wukuf di Arafah.


Imam al-Tirmizi.Sunan al-Tirmizi. Kitabul Shaum an Rasulullah saw. hadis no. 697 http://www.islamweb.net/. Berkata Imam Tirmizi hadis ini adalah Hasan Gharib.

Wednesday, November 5, 2008

AWEE WINGS & JOE WINGS




Kembara Falak pada 20 Oktober 2008 telah mengadakan pameran di Paya Indah Wetland di Dengkil Selangor dan terima kasih kepada semua kakitangan Paya Indah Wetland di atas layanan anda semua dan kerana sudi membawa kami melawat sekitar kawasan. Terima kasih juga kepada Awee -WINGS dan Joe-WINGS yang melawat gerai pameran kami.

Berikut adalah sambungan penceritaan daripada Taqwim Syamsi dan Taqwim Qamari yang ditulis sebelum ini.

Pada prinsipnya sesuatu bulatan mengandungi 360°. Dalam ilmu Falak bulatan Angkasa ini dibahagi kepada dua, setiap bahagian mengandungi 180°. Matahari atau bulan yang bergerak menerusi 180° yang pertama dinamakan matahari atau bulan Utara dan ketika bergerak menerusi 180° yang kedua dinamakan matahari atau bulan Selatan.

- Matahari bergerak menghabisi 360° ini dengan mengambil masa selama 365.2422 hari (365 hari 08 jam 48.58minit) atau 0.9687° dalam masa 24 jam.
- Bulan bergerak menghabisi 360° dalam masa 27.32158 hari (27 hari 07jam 43minit) atau 13.1764° dalam masa 24jam.
- Bagaimana pun pergerakan bulan selama 27.32158 hari ini tidak cukup bagi satu pusingan ijtimak. Pusingan ijtimak ialah 29.5306hari (29hari 12jam 44minit). 12 kali pusingan ijtimak mengambil masa 354.3671 hari (354hari 08jam 48.6minit)

Perbezaan masa antara gerakan matahari dan bulan sebanyak 10.8751 hari (10 hari 21 jam 0.14minit). (365.2422-354.3671 = 10.8751). Ia akan meningkat kepada 3 tahun gerakan bulan selama 100 tahun gerakan matahari atau 9 tahun gerakan bulan dalam masa 300 tahun gerakan matahari. Dengan ini boleh diambil kira dalam masa 300 tahun gerakan matahari adalah bersamaan dengan 309 tahun gerakan bulan.
¨Mereka itu diam dalam gua tiga ratus tahun lamanya dan bertambah
Lagi sembilan tahun¨ (surah Al-Khafi ayat 25)
Sambung.....

Tuesday, November 4, 2008

Perjalanan Syawal - ZulKaedah



Selepas dapat menunaikan puasa 6 hari dalam bulan syawal dan telah pun kembali bertugas, kembara falak seperti insan-insan yang lain, menerima kunjungan teman-teman juga mengunjungi rumah sahabat-sahabat untuk berhari raya. Sekarang pula meninjau untuk majlis Qurban di Aidil Adha. Kembara falak juga ada menerima jemputan dari Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi mengadakan Pameran sempena Program Pengenalan Falak Dan Astronomi Peringkat Sekolah-Sekolah Negeri Selangor yang akan diadakan di Anggerik Mall, Shah Alam pada 8 November 2008.


Sambil itu jari jemari Kembara Falak terus menaip perkataan demi perkataan.
Tahun Syamsi dan Qamari - Tahun Masihi adalah berdasarkan pergerakan matahari manakala tahun Hijri adalah semata-mata berdasarkan pergerakan Bulan iatu selepas 17 tahun Hijrahtul Rasulallah (saw) daripada Mekah al-Mukaramah ke bandar Yathrib (Madinah al-Munawarah) pada umur Baginda saw 52 tahun.
"Dan (suatu keterangan juga bagi mereka) matahari, ia berlari (beredar) hingga tempat tetapnya. Itulah takdir (aturan Allah) yang Mahaperkasa lagi Mahamengetahui" (Yassin ayat 38)

-Matahari yang kelihatan dari bumi seakan beredar di atas garisan di angkasa dan melalui 12 gugusan bintang dalam masa satu tahun matahari.

"Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. dan Dia menundukkan matahri dan bulan (untuk kepentinganmu), masing-masing berlari (beredar), hingga waktu yang ditentukan. Itulah Allah Tuhanmu, baginya semua kerajaan. Orang-orang (berhala) yang kamu sembah selain daripada Allah, tiada mempunyai sebesar kulit tipispun (sedikitpun)" (Surah AlFaathir ayat 13)

-Berlainan dengan gerakan bulan yang melintasi kesemua sekali 12 gugusan bintang yang sama hanya mengambil masa satu bulan gerakan bulan.


"Sesungguhnya telah Kami jadikan buruj di langit dan Kami hiasi di untuk orang2 yang melihatnya" (Surah Al-Hijr ayat 16)

"Mahasuci yang menjadikan buruj di langit, dan mengadakan di sana pelita yang besar (matahari) dan bulan yang menerangi" (Surah Al-Furqan ayat 61)
- Gugusan bintang ini dikenali dengan BURUJ (Constellation)


Wednesday, October 22, 2008

ASTRONOMY CONVENTION & EXPO

ASTRONOMY CONVENTION & EXPO UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS 2008 “EXPLORE OUR UNIVERSE, MILLIONS OF KNOWLEDGE










Dari Kiri Ustaz Zambri Ismail (Jab.Mufti Perak), Mahruzaman Misran (INSTUN), Prof.Madya Dr.Mustaffa Ahmad (Dekan Fakluti Sains & Teknologi UPSI, Prof.Dr.Zambri Zainuddin (Universiti Malaya), Dr.Razak Abd.Samad Yahya (UPSI

Setelah beberapa kali bermesyuarat di bulan Ramadhan akhirnya berlangsung lah ASTRONOMY CONVENTION & EXPO (ACE) pada 11 dan 12 Oktober 2008. Program berkenaan adalah anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama INSTUN dan Jabatan Mufti Perak.

Di bawah ini dimuatkan Parakata Pengarah Instun dibuku cederahati sempena ASTRONOMY CONVENTION & EXPO UPSI 2008

Astronomi atau ilmu falak adalah merupakan salah satu ilmu yang tertua di dunia ini. Boleh dikatakan terdapat banyak sekali cabang-cabang ilmu yang timbul dari ilmu ini. Rasa ingin tahu manusia terhadap fenomena falak seperti kejadian siang dan malam, perubahan musim dan cuaca mendorong manusia mencari rahsia di sebalik apa yang dilihat dengan mata kasar. Aktiviti-aktiviti harian mereka terhadap jasad-jasad samawai di angkasa menyebabkan berkembangnya ilmu falak. Tidak salah jika dikatakan bahawa ilmu falak menjadi faktor terpenting dalam menjana ketamadunan manusia.

Di Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) satu kajian iaitu Kajian Kenampakan Hilal telah dilaksanakan bermula dari tahun 2006 sehingga sekarang. Dua tempat kajian telah dilaksanakan iaitu di Baitul Hilal, Pasir Panjang (tempat cerapan Hilal rasmi bagi negeri Perak) dan di Pelantar Rukyah Hilal di Institut Tanah dan Ukur Negara (sebagai tempat kajian cerapan hilal tanah tinggi)

Adalah diharap Konvensyen dan Expo Astronomi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2008 ini dapat memindahkan pengalaman institusi Astronomi/Falak di Malaysia untuk dikembangkan dalam masyarakat, mewujudkan jaringan harmonis antara pelbagai institusi falak, Jabatan kerjaan dan institusi pengajian dalam mengembangkan ilmu ini dalam dunia pendidikan- Pengarah INSTUN

Falak INSTUN juga telah mengambil Bahagian dalam Konvensyen berkenaan yang berlangsung selama selama dua hari, tahniah kepada petugas pameran Puan Hummidah Mahmud, Encik Mohd Imam Ma’arof Soa’ib, Encik Kamrudin Kosnan, Puan Tun Zarina, Puan Arbaiah, Encik Mohd Hafiz. Kepada Jurukamera Encik Mohd Abduh dan Encik Nor Azlan juga kepada urusetia Astrorace Encik Muhammad Kenidi dan Encik Azahar Riza. Petugas penginapan Encik Faizil, Encik Hazari dan Encik Azani (yang bertugas dari petang sehingga larut malam), Serta terima kasih yang tidak terhingga kepada Ketua Bahagian Ukur dan Pemetaan yang memberi sokongan dan dorongan serta membentangkan kertas kerja dalam sessi seminar pada hari berkenaan.


Diantara program yang dilaksanakan pada hari-hari berkenaan adalah :

1. Pembentangan 6 kertas kerja dalam seminar
2. Acara Astrorace
3. Peraduan Mewarna
4. Bengkel Peta Bintang
5. Bengkel Pembinaan Roket Air
6. Pertandingan Roket Air
7. Pameran
8. Kuiz
9. Pencerapan Planet

Pada malamnya diadakan sessi pencerapan langit malam, Falak Instun mendirisiapkan dua teleskop dan mendapat sambutan yang baik. Program berakhir pada jam 01.00 pagi.







Sunday, August 24, 2008

Mengimbau Kenangan Ramadhan 1428H.




Terlebih dahulu ardul al-balad ucapkan terimakasih di atas kesudian pembaca semua kerana sudi menatap coretan dari Falak Syarie - Kembara Falak. Berita Falak pada mulanya ditulis sekadar berkongsi cerita dengan pembaca akan aktiviti yang Kembara Falak INSTUN sertai. Aktiviti berkenaan adalah aktiviti Bahagian Ukur dan Pemetaan Instun. Terasa bersyukur kerana semakin banyak aktiviti yang kami sertai, semakin banyak perkara yang kami dapat belajar, Jika dahulu sangat sukar bagi ardul al-balad mendongak kelangit walaupun sesaat tapi hari ini ardul al-balad berjalan di bumi dan tidak lupa akan keindahan taburan objek-objek samawi di langit. Pembaca hendak tahu baru terasa kita insan yang kerdil yang menumpang di bumi yang juga tidak seluas mana. Cuba kita bayangkan langit kita gelap, kita akan berkata langit gelap hujan akan turun, cuaca panas oleh pancaran matahari, pokok bergoyang sebab angin bertiup, sebenarnya kita ini begitu rapat dengan alam kita ini, alam sentiasa menyapa kita….aku di sini….aku terasa sesuatu…aku bawa sesuatu…….(kata alam) kita kata kita kawan alam kenapa tidak kita kenalinya dengan lebih dekat.

Kembara Falak akan meneruskan coretannya jika ada perkara yang hendak dicerita. Alhamdulilah Falak Syarie- Kembara falak akan lebih meriah lagi di atas kesudian Ustaz Hanafiah Abd.Razak dari jabatan Mufti Johor yang menyumbangkan cerita bagi kita kongsi bersama…..dan ingat bagi peminat Falak cerita ustaz Hanafiah Abd.Razak ada pengajaran dan ada ilmu untuk terus kita selongakar sebagai kajian.

Dibawah ini disertakan Sudut Istilah Ilmu Falak untuk kita biasa-biasakan agar lebih mesra.

Sudut Kamus Istilah Ilmu Falak

ARDH : Bumi, salah satu di antara sembilan planet pengikut matahari. Orang inggeris menyebutnya Earth, sementara orang Yunani menyebut nya GEO.

ASAD : Salah satu rasi (Buruj / Constellation) di antara 12 rasi bintang tetap (ATS_TSAWAABIT) yang terletak dalam MINTHAQAH AL_BURUJ (ZODIAC). Rasi ini berada pada turutan kelima , Didalam dunia Astronomi terkenal dengan istilah LEO. Orang Yunani mengkhyalkannya bagai gambar singa.


Ramadhan 1429H akan kunjung tiba, di bawah ini disertakan coretan Ustaz Hanapiah Abd.Razak sebagai mengimbau kenangan Ramadhan 1428H.


Coretan Khas Misi Menghantar Beras Ke Pulau Aur dan Pemanggil
Oleh : Haji Hanafiah bin Abdul Razak

Seawal jam 11.30 pagi , hari sabtu 24 Ramadhan 1428 bersamaan 6 Oktober 2007 , kami berempat dari Jab. Mufti , Jab. Agama dan Majlis Agama Islam Johor di bawah seliaan krew dari Unit Polis Merin Johor Selatan yang di ketuai oleh Sarjan Samion berlepas pergi dari jeti Tanjung Puteri. Sejam kemudian kapal yang saya naiki PX 8 dengan muatan anak kapal Polis Merin seramai 14 anggota mula memasuki perairan Laut Cina Selatan .


Perjalanan agak lancar kerana mengikut arus lautan yang air sedang surut setelah pasang di awal pagi .Angin kering dari arah selatan bertiup perlahan angin yang kurang di senangi oleh tokoh – tokoh pelayaran Islam zaman silam
[1] kerana angin ini kering dan menyebabkan perubahan cuaca yang tidak menentu , tambahan pula berasaskan hadis Rasulullah SAW bahawa angin selatan di kenali dengan nama addabur [2] awan sirus atau dalam istilah ahli geografi Islam zaman silam di sebut al-Ghamam [3]kerana ia nipis akan tetapi menutup jasad-jasad langit dari kelihatan dimalam hari . Awan ini kelihatan memenuhi ruang kubah langit yang membiru pada kedudukan kordinat Ardu al- Balad ( Garis Lintang ) : 1darjah 45minit Utara dan Tol al – Balad ( Garis Bujur ) : 104darjah 20minit timur.

Suasana tiba-tiba berubah pada jam 3.30 petang pada pada kedudukan kordinat Ardu al- Balad ( Garis Lintang ) : 2 darjah 10 minit Utara dan Tol al – Balad ( Garis Bujur ) : 104darjah 22minit timur . berdekatan dengan Pulau U, terasa angin sejuk dan berkabus , mula kelihatan awan al-Namrah
[4] yang dinamakan oleh ahli geografi Islam zaman silam kerana ia berputus – putus dan membentuk kelompok-kelompok awan kecil menewaskan penguasaan awan al-Ghamam di ruang kubah langit. Awan al-Namrah ini sedang rancak bergerak ke arah barat menuju pantai timur Negeri Johor . Saya teringat kata guru saya apabila al-Namrah bergerak ia akan berhimpun sama dan membentuk awan al-Arad atau al-Arid dan sekiranya rendah ia membentuk awan al-Aras yang mengandungi guruh dan petir adakah hujan akan turun 24 jam dari waktu itu ( petang 7 Oktober , 25 Ramadhan di Bandar Johor Bahru ? . Tiba-tiba deringan talipon panggilan dari Ustz Ramley Jusoh memberi tahu hujan tidak begitu lebat turun di Rumahnya ( Johor Bahru ) pada jam 4.14 petang , bertanya khabar adakah malam ini akan berlaku Lailah al-Qadar kerana nampak tanda-tandanya , tambahan pula malam nanti adalah malam 25 ramadhan , kalau ikut keadah Imam al Ghazali puasa tahun ini lailah al Qadar iailah malam 25 ramadhan ! Tidak lebih dari 10 Bot Nelayan yang kami lihat sepanjang kami merentasi laut Cina Selatan menuju ke Pulau Aur dengan Azimuth ( sudut ) 22 darjah.

Perubahan angin ini dikenali dengan istilah al-Mutanawihah
[5]. Satu penemuan baru iaitu perubahan angin mengakibatkan perubahan awan , maka angin berkadar terus dengan awan . Biasanya angin mendahului awan , walau bagimanapun pada banyak keadaan ia serentak bergerak seiringan.
Pada jam 6.15 petang baru kelihatan Pulau Aur dek kerana kabus pada jarak 45 batu nautika . Sarjan Samion memberi tahu saya ‘ Kita perlukan satu jam lagi untuk tiba di jeti Pulau Aur , maka kita akan berbuka puasa seadanya di atas kapal jam 6.53 malam ‘ .

Kapal PX 8 berlabuh di jeti Pulau Aur jam 7.20 malam setelah hampir setengah jam berbuka puasa . 150 kampit beras di punggah untuk keperluan penduduk Pulau Aur yang 100 peratus adalah beragama Islam . Misi kali ini tiba lebih awal sebelum datangnya munsun timur laut yang mengakibatkan penduduk pulau terputus hubungan selama hampir 5 bulan .


Azan Isyak kedengaran jam 8.12 malam , saya bergegas ke Masjid Pulau Aur kampong batu berhala ( Batu Berhaluan ke Arah Utara ) . Solat Fardhu Isyak dan Solat Sunat Terawih di Masjid Kayu bertangga 3 anak tangga sungguh menakjubkan , dengan kelengkapan yang ala kadar akan tetapi terasa angin sejuk sepoi – sepoi bahasa di sebut oleh tokoh – tokoh pelayaran Islam zaman silam dengan nama al-Nasiim . Imam Harun menjelaskan angina ini datang dari arah timur iaitu dari tanah tinggi Pulau tersebut , akan tetapi kalau sebut angin timur ia bertindak ganas ? Tertanya-tanya sesama sendiri Lailah al-Qadar ! al-Nasiim terus bertiup dengan mesranya melayan air laut kian surut dan akan pasang semula seawal jam 4 pagi nanti.


Selepas selesai solat Fardhu subuh puas rasanya berbincang tentang cuaca dan perubahan angin di Pulau Aur . Matahari terbit kami berada di jeti Pulau Aur , kelihatan Awan al-Qala’
[6] mula menutupi kemuncak gunung di pulau tersebut . Imam Harun menyapa kepada saya hujan akan turun Ustaz ! saya nyatakan pada pengamatan yang di lihat hujan bukit sahaja kerana awan al-Qala’ tidak berginjak sekadar bertapa di kepala gunung sahaja .
Pada kacamata Imam Harun yang telah berusia 64 tahun dan di lahirkan di pulau tersebut menjelaskan bahawa Pulau di hadapan Pulau Aur iaitu Pulau Dayang semakin membesar dengan dua hujjah yang di kemukakan iaitu laut di sekitarnya semakin cetek dan air surut semakin jauh dari tempat biasa . Dia menmbah lagi bahawa batu karang semakin tertimbus dek pasir yang datang di bawa arus . Tidak timbul soal kepupusan batu karang kerana ancaman tapak sulaiman akan tetapi di timbus pasir jelas Imam Harun lagi .
[1] Lihat Nihayah al-Adab Oleh al –Imam Shihabuddin , halaman 94 , Darul Kutub al-Misriah.
[2] Lihat Hadis Rasulullah SAW : Aku mendapat pertolongan dengan angina Assoba dan di binasakan kaum Ad dengan angina addabur .
[3] Lihat Nihayah al-Adab Oleh al –Imam Shihabuddin , halaman 71 , Darul Kutub al-Misriah.
[4] Lihat Nihayah al-Adab Oleh al –Imam Shihabuddin , halaman 71 , Darul Kutub al-Misriah.
[5] Lihat Nihayah al-Adab Oleh al –Imam Shihabuddin , halaman 95 , Darul Kutub al-Misriah.
[6] Lihat Nihayah al-Adab Oleh al –Imam Shihabuddin , halaman 72 , Darul Kutub al-Misriah.

Wednesday, August 20, 2008

Pena Falak Ustaz Hanafiah Abd.Razak

Pena Falak Ustaz Hanafiah Abd.Razak


Satu pertiga Negara Bangladesh berisiko tenggelam di mana paras air laut telah meningkat kepada satu meter melibatkan 144 juta rakyat Negara Bangladesh bakal hilang tempat tinggal . Wakil Negara Bangladesh di PBB merayu Negara-negara Maju menghulurkan bantuan sekadar mana yang boleh bagi menangani isu yang benar-benar kritikal di negaranya. - Berita Harian 27 September 2007

Al-Imam al-Biruni , tokoh ahli falak Islam zaman silam mengupas teori penenggelaman Negara-negara dunia dan kemewahan yang melanda Negara-negara Arab ! ia berasaskan Hadis Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah R.A :

Tidak akan berlakunya Hari Kiamat sehingga harta yang banyak dan melimpah ruah sehingga seorang lelaki yang mengeluarkan zakat hartanya akan tetapi tiada seorangpun yang hendak menerimanya dan sehinggalah bumi Arab subur lagi mewah dan mengalir beberapa batang sungai merentasi padang pasir yang telah berubah wajah.( Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah R.A )

Al-Imam al-Biruni menjelaskan 1100 tahun yang lalu , bahawa air batu di kutub utara akan mencair yang membawa kesan yang amat ketara kepada bumi di mana ada pulau-pulau dan Negara-negara yang tenggelam . Sebaliknya negara- Negara Arab yang kering kontang dan berpadang pasir itu berubah wajah kerana limpahan air akan mewujudkan sungai – sungai yang merentasi gurun. Oleh itu gurun akan berubah wajah daripada daratan yang tandus kepada daratan yang menghijau .

Al-Imam al-Biruni menjelaskan lagi kesan anjakan laluan matahari di buruj-buruj akan menjadi detik – detik perubahan ini ! Hari ini kita saksikan sendiri anjakan berlaku kepada darjah kedudukan matahari di buruj , titik awal hamal sudah pun berginjak dalam tempohan 2007 tahun dari detik kelahiran Nabi Isa AS . Kesan hakisan pantai yang amat ketara dalam tempohan 30 tahun telah membuktikan bahawa kenaikan paras air laut ! bukan memikirkan hakisan ombak laut sahaja yang menyebabkan pantai terhakis ?

Kenali Tokoh

Abu Arrayhan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni
(Al-Biruni yang mula dikenali antara 973 sehingga 1048 CE menterjemahkan hasil kerja Euclid kepada Sanskrit (bahasa India) pada ketika itu.Beliau turut membuat perkiraan terhadap lilitan bumi menerusi pengiraan jarak di sekeliling bumi di samping mengetengahkan sistem radius yang lebih tepat bagi tujuan sukatan untuk kegunaan hari ini.Selain memberikan sumbangan dalam dunia matematik Islam; Al-Biruni turut ditampilkan sebagai ahli falsafah, pengkaji bintang, ahli farmasi untuk kajian ubat-ubatan, pengkaji tumbuhan dan ahli geologi yang terkenal pada ketika itu)

Tuesday, August 19, 2008

Perhatikan Jasad Samawi Ogos-Disember 2008



31 Ogos 2008 - Bulan Baru, "Awal Ramadhan 1429 H"(Rukyah Hilal)

4 September 2008 - Saturn Conjunction. Posisi Planet Saturn kali ini berada tepat di belakang Matahari.

11 September 2008 - Mercury Greatest Eastern Elongation. Planet Mercury pada posisi Elongation Maksimum di sebelah Timur Matahari. Hari ini ini jarak sudut elongation Mercury terhadap matahari mencapai maksimum hampir sekitar 19°. Keadaan yang baik untuk menyaksikan planet ini di Langit Barat hari sesudah matahari terbenam.

13 September 2008 - Uranus at Opposition. Planet Neptune berada pada fasa penuh atau sedang beroposisi. Planet berwarna kehijauan ini berada pada jarak paling dekatnya dengan Bumi. Sekarang adalah waktu yang sesuai untuk mengamati Uranus, namun ia hanya akan nampak sebagai titik cahaya berwarna biru kehijauan walau menggunakan teleskop yang besar.

15 September 2008 - Bulan Penuh 22 September 2008 - Autumnal Equinox. Posisi matahari tepat berada di garis ekuator melanjutkan gerak semua hariannya ke arah Selatan. Equinox terjadi dua kali selama setahun yaitu Marcht Equinox dan September Equinox. Pada September Equinox matahari akan melanjutkan gerak hariannya ke arah Selatan. Hari ini panjang siang tepat sama dengan malam, tidak ada bayangan di katulistiwa saat tengah hari. Awal Musim Gugur (Autum/Falling) di belahan bumi Utara dan Awal Musim Semi (Spring) di belahan bumi Selatan.

29 September 2008 - Bulan Baru, "Awal Syawwal 1429 H" (Rukyah Hilal)

7 Oktober 2008 - Mercury Inferior Conjunction. Posisi Planet Mercury berada tepat di depan Matahari, posisinya diantara Bumi dan Matahari.

14 Oktober 2008 - Bulan Penuh.

21 Oktober 2008 - Orionids Meteor Shower. Dapat disaksikan lepas tengah malam di belahan Langit Timur hingga pagi. 40 meteor setiap jam mungkin berkurang akibat kemunculan bulan malam itu.

22 Oktober 2008 - Mercury Greatest Western Elongation. Planet Mercury pada posisi Elongation Maksimum di sebelah Barat Matahari. Hari ini ini jarak sudut elongation Mercury terhadap matahari mencapai maksimum hampir sekitar 19°. Waktu paling sesuai menyaksikan planet ini di Langit Timur sebelum matahari terbit.

29 Oktober 2008 - Bulan Baru, Awal Zulkaedah 1429 H (Rukyah Hilal)

13 November 2008 - Bulan Penuh19 November 2008 - Leonids Meteor Shower. Meteor Shower ini dapat dilihat menjelang tengah malam sampai sebelum fajar. Radiant meteor ini berada di arah Timur-Laut tepatnya di kepala Buruj Leo. Buruj ini dapat dilihat di langit Timur lepas pukul 02:00 pagi Leonids dapat menampakkan sekitar 10 sampai 15 meteor setiap jam saat puncaknya. Kali ini pengamatan Leonids tidak maksima karena terganggu oleh cahaya bulan.

25 November 2008 - Mercury Superior Conjunction. Posisi Planet Mercury berada tepat di belakang Matahari.

27 November 2008 - Bulan Baru, "Awal Zulhijjah 1429 H"(Rukyah Hilal)

1 Disember 2008 - Moon-Venus-Jupiter Conjunction . Bulan sabit, Planet Venus dan Planet Jupiter dalam formasi segitiga pada jarak hanya sekitar 3° antara ketiganya. Pemandangan ini dapat disaksikan pada selepas Isyak.


6 Disember 2008 - Mars Conjunction. Posisi Planet Mercury berada tepat di belakang Matahari.

12 Disember 2008 - Bulan Penuh

14 Disember 2008 - Geminids Meteor Shower. Shower ini dapat disaksikan mulai pukul 21:00 sampai menjelang pagi. Radiant meteor ini berada di arah Timur-Laut tepatnya di Buruj Gemini. Buruj Gemini akan dilihat di langit Timur mulai pukul 20:00 waktu petang dan terus bergerak ke Barat hingga pagi. Geminids dapat menampakkan sampai 120 meteor setiap jam puncaknya. Waktu terbaik untuk melihat adalah setelah radiant muncul sekitar pukul 21:00 bulan sudah terbenam hingga pagi hari sebelum cahaya Timur merembang. Kali ini penglihatan akan terganggu disebabkan oleh cahaya bulan penuh.

21 Disember 2008 - Winter Solstice. Adalah saat matahari berada di titik paling Selatan atau disebut sebagai Tropic of Capricorn iaitu garis selari 23º 27’ di Selatan equitor Bumi. Hari ini siang paling pendek di sebelah Utara dan paling panjang di Selatan. Dan perhatikan serta amati, terbit/terbenamnya matahari.

22 Disember 2008 - Pluto Conjunction Posisi Planet Pluto berada tepat di belakang Matahari.

27 Disember 2008 - Bulan Baru, Awal Muharram 1430 H (Rukyah Hilal)

Monday, August 18, 2008

Sumber Ikan semakin terancam ?

Sumber Ikan semakin terancam ?
Di sini ardul al-balad mengutarakan tulisan Ustaz Tuan Haji Hanafiah Abd.Razak dari Jabatan Muft Johor yang telah ardul al-balad susun semula, semuga kita manafaatkan bersama.

Melalui satu ruangan info sebuah akhbar ada memaparkan bahawa sistem satelite di gunakan untuk mengesan lokasi ikan di laut cina selatan dan selat melaka bagi menangani isu hasil tangkapan ikan yang semakin merosot di Malaysia .

Gara-gara harga ikan yang melambung naik di tambah pula bekalan yang tidak mencukupi telah mendapat reaksi utama rakyat Malaysia berhubung barang keperluan tersebut . Pelbagai usaha telah di laksanakan oleh pihak yang di beri mandat oleh kerajaan untuk menangani isu hasil tangkapan ikan yang semakin merosot saban tahun .

Maksud Firman Allah SWT : ‘ Dan dialah ( Allah SWT ) yang memudahkan laut , supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut ( pelbagai jenis ikan di lautan ) ‘. . . ( ayat 14 , surah al-Nahlu)
Al-Imam Abu Ja’far Ibnu Jarir al-Thabari ( wafat pada 310 H ) berkata : yang di maksudkan dengan daging yang lembut ( lahman Thoriyya ) ialah pelbagai jenis ikan di lautan , malah Allah SWT maha mengetahui betapa sejak kewujudan manusia itu memerlukan ikan sebagai sumber makanan dan manusia sanggup menjadikan ikan itu seperti binatang buruan .

Al – Imam Ismail Hagiyyi di dalam tafsir Roh al-Maa’ni berkata : Ikan merupakan keperluan kehidupan harian manusia kerana banyak manfaat dan hasiat yang ada pada daging ikan ini di buktikan bahawa syarak tidak meletakkan kewajipan menyembelih ikan , tidak seperti binatang di darat yang mesti di sembelih .
Al – Imam Ismail Hagiyyi juga mengemukakan Hadis , Rasulullah SAW bersabda : Makan ikan akan menghilangkan sifat-sifat keji seperti hasad dengki ( lihat Bahru al-Ulum ).

Al-Imam Abu Thoib menjelaskan di dalam tafsir fathu al-Bayan : Allah SWT memulakan firmannya pada ayat 14 , surah al-Nahlu dengan menyebut ‘makan daripadanya daging yang lembut’ memberi isyarat kepada umat manusia bahawa ikan adalah makanan utama kepada manusia untuk keperluan tubuh badan manusia .
Tiba-tiba keperluan utama manusia mula terancam !

Tokoh ilmu Falak dan Geografi Islam zaman silam al-Imam al-Farghani berkata : ada persamaan di antara ufuk darat dengan ufuk laut iaitu apa yang ada di darat maka itulah juga yang ada di laut . Sekiranya di darat ada gunung – ganang , bukit – bukau , sungai , lembah dan paya begitu jualah di laut . Maka pencemaran di darat pastinya mengancam sumber di darat begitu jua di laut pencemaran di laut dari tumpahan minyak , cari-gali minyak yang tiada kawalan pencemaran , tambak dan korek pasir di laut , ujian nuclear dan bom di laut sudah pastinya merosakkan ufuk lautan yang tidak boleh lari dari mengalami kemusnahan sumber lautan khususnnya ikan .

Tokoh ilmu zoology Islam zaman silam Al-Imam Muhammad kamaluddin di dalam kitabnya Hayat al-Hayawan al- Kubra menyatakan : ‘ Ikan adalah jenis makhluk seperti manusia di mana ikan beristinsyak ( bernafas ) di dalam air sebagaimana manusia bernafas di udara. . Sekiranya air laut tercemar ia akan mendatangkan kesan yang buruk kepada hidupan laut.

Tokoh ilmu Falak dan zoology Islam zaman silam Al-Imam Shihabuddin al-Mahalli berkata : Ikan di lautan adalah seperti sisitem suria yang beredar bersama dengan gugusan jasad-jasad langit bergerak merentasi tujuh petala langit , begitulah ikan – ikan di lautan apabila di sesuatu lokasi laut mula tercemar ia akan berhijrah ke lokasi lautan yang lebih selamat ! kerana di bumi Allah ini ada tujuh lautan yang luas .
Maka kaedah pasang surut air laut yang mempengaruhi tabiat ikan tidak boleh di jadikan sebagai pedoman lagi apabila ikan-ikan mula berhijrah begitu jua kaedah penggunaan satelite !

Sunday, August 17, 2008

Stargazing & Astrofotografi di Empangan Kuala Kubu Baru, Selangor




9 Ogos 2008 Kembara falak telah mengikuti program yang dianjurkan oleh komiti falakonline. Sememangnya program berkenaan amat berkesan bagi kami dari Instun (rasa tidak puas pulak), banyak perkara yang kami dapat belajar pada malam itu.


Terima kasih pada mr.William kerana pengkesahan pengalaman cerapan Gerhana Matahari di China dan foto gerhana yang sangat teruja saya tenguk dan jadi satu visi hendak ambil gambar yang hebat dan cantik tu. Apa yang penting dapat tahu serba sdikit tentang keperluan peralatan dan juga teknik yang sesuai sebelum kita hadir ke China tahu 2009 (mungkin falakonline boleh jadi pengurus bagi team yang teringin kesana).

kami juga rasa gembira dapat bersua muka dan bersalaman dengan mymoon, bagi kami mymoon antara mereka yang begitu super aktif akan bidang Astrofotografi. Person yang begitu murah hati untuk berkongsi pengetahuan yang jarang semua orang ada. Bila kita bertanya pasti ada answer yang bernas...syabas tuan.



Terima kasih bos falakonline yang begitu komited curahan ilmunya kerana dapat beri penerangan khusus untuk adik-adik dari UPSI semuga adik-adik upsi yang akan berdepan dengan golongan anak-anak sekolah akan terus menggali ilmu astronomi/falak untuk dicurahkan kepada generasi muda...itu lah mereka anak-anak masa hadapan yang bakal mewarisi ilmu yang ada.



Bagi bro dari angkasa...anjurkan program yang boleh kami join bagi menembahkan pengetahuan kami yang cetek ini, juga bro dari jalan kelang lama mungkin ada perkara yang kita boleh buat kerjasama. bagi geng UIA Fahana dan....(tidak sempat kenal nama lah) semangat awak berdua hebat...also pasangan dari UPM adik nor n couple mungkin ada kajian yang boleh kita kongsi.dan lain-lain team tahniah. tidak lupa saudara Muzammil yang begitu pro. lah.
.....Lagi gambar di : http://mohd-abduh.fotopages.com

Thursday, August 14, 2008

OGOS YANG TERISTIMEWA


Hari ini 31 Julai dan jam ardul-balad menunjukkan jam 1.30 pagi tiba-tiba ardulBalad baru teringat akan fenomena alam yang akan berlaku pada 1 Ogos 2008 (29 Rejab 1429H) dan dituruti pula oleh fenomena yang kedua iaitu pada 17 Ogos 2008 (15 Syabaan 1429H). Fenomena ini adalah fenomena yang berangkai. Ini adalah keistimewaan yang terjadi bagi bulan Ogos 2008. Jika dahulu tiada lah terlintas dalam kepala ini untuk mengambil tahu perkara ini tetapi kesedaran yang diberi bagi memikirkan hal-hal kejadian alam, maka ardul balad rasa eloklah perkara ini di war-warkan juga dikongsi bersama kerana kita duduk dan tinggal di alam yang sama, matahari yang sama dan bulan yang sama.

Fenomena yang akan berlaku pada 1 Ogos 2008 adalah Total Solar Eclipse. Gerhana Matahari Total berlaku dimana jalur gerhana total bermula dari Kanada Utara lalu bergerak melintasi Greenland, Siberia, Mongolia dan China. Manakala beberapa lokasi yang dapat melihat gerhana sebahagian adalah Greenland, Eropah dan Asia Barat. Manakala di Malaysia, penduduk kawasan pantai di pantai barat semenanjung bolehlah cuba intai-intai pada waktu matahari terbenam (Maghrib), kebarangkalian boleh nampak atau tidak. Teringat pula ardulbalad pernah berangan-angan hendak pergi ke China pada masa Fenomena ini berlaku, tetapi tidak apalah kerana dua orang sahabat ardul-balad telah pun berlepas ke China bagi merakam fenomena ini, kita tunggu bersama buah tangan dari China nanti.


Fenomena yang akan berlaku pada 17 Ogos 2008 ini adalah lebih menarik. Fenomena berkenaan adalah Partial Lunar Eclipse (Gerhana Bulan Sebahagian). Gerhana dapat dilihat mulai dari Amerika Selatan, Eropah, Afrika, Asia dan Australia. Sedangkan dari Malaysia gerhana ini dapat disaksikan mulai pukul 3.30 pagi di Langit barat dapat dilihat sampai sebelum bulan tenggelam. Apa yang menarik tarikh berkenaan adalah 15 Syabaan (nisfu syabaan). Semasa di Konvensyen Falak Selangor saya telah diberitahu oleh Ustaz Hanafiah agar bangun pada jam 3.00 pagi hari berkenaan dan sibuk-sibuk kan diri beramal ibadat yang mana termasuk solat sunat gerhana.

Bumi, bulan dan matahari bergerak dalam orbit masing-masing. Bumi mengelilingi matahari sambil membuat putaran atas paksinya. Satu putaran bumi atas paksinya mengambil masa 24 jam. Dalam masa satu tahun, bumi mengelilingi matahari satu pusingan 365.25 hari. Bulan mengelilingi bumi dalam waktu 29.5306 hari.

Bila bulan melintasi bayang-bayang bumi maka akan berlaku gerhana bulan. Gerhana bulan akan hanya berlaku pada masa bulan purnama sahaja. Maka tarikh yang lazimnya berlaku gerhana bulan ahíla pada pertengahan bulan qamari atau hijri, iaitu sekitar 13hb, 14hb atau 15hb. Gambarajah di bawah menunjukkan bagaimana gerhana bulan berlaku.


Hukum Gerhana

1. Gerhana Bulan akan hanya berlaku pada waktu bulan purnama. Gerhana matahari pula berlaku pada waktu ijtimak bulan, bumi dan matahari. Gerhana tidak berlaku setiap bulan.
2. Sekurang-kurangnya berlaku dua gerhana matahari setiap tahun (Syamsyiah), tetapi tidak mungkin melebihi lima kali. Bilangan maksimum untuk gerhana matahari adalah 3 dalam satu tahun.
3. Gerhana sering berlaku berpasangan atau bertiga: matahari-bulan-matahari. Gerhana bulan selalu didahului atau diikuti dengan gerhana matahari, (ada 2 minggu antaranya).


Wednesday, August 13, 2008

Kembara Falak Instun di Konvensyen Falak Selangor

19 Julai 2008 (16 Rejab 1428H). Falak Instun telah mendapat undangan daripada Jabatan Mufti Selangor bagi mengadakan pameran sempena Konvensyen Falak Selangor 2008. Konvensyen berkenaan diadakan di Auditorium Sirim di Shah Alam, Selangor. Majlis persamian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Besar Selangor. Ruang pameran Falak Instun telah mendapat sambutan yang diluar dugaan. Di sebelah malamnya diadakan cerapan langit malam.



Petikan kertas kerja Ustaz Hanapiah Abdul Razak (Jabatan Mufti Johor) yang dibentangkan di Konvensyen falak Selangor 2008 disusun semula oleh Mahruzaman Misran.

MATAHARI : SUMBER KEPADA UMAT MANUSIA MENURUT AL-QURAN


Mukadimah

Penempatan yang paling istimewa di alam ini adalah bumi (al-ardh) kerana disediakan di bumi Allah ini dengan pelbagai kelengkapan, tambahan pula bumi sentiasa menerima perkhidmatan dua jisim langit yang istimewa iaitu matahari dan bulan.

Firman Allah swt:
Matahari, Bulan dan Planet itu sebagai pemberi maklumat dan dengan bintang itu mereka (umat manusia) mendapat pedoman. (surah al-Nahl (16))

Ahli tafsir dikalangan ulama Islam yang disegani, antaranya al imam allusi dalam tafsirnya Ruhalma’ani menjelaskan, tiga jisim langit yang tidak putus-putus berdamping dengan bumi iaitu matahari, bulan dan planet, ini kerana ketiga-tiga jisim langit tersebut menyediakan khidmat alat pengukur waktu, maklumat musim dan isyarat perhubungan cuaca.



Sinaran Cahaya.

Matahari adalah jisim langit yang bercahaya dan memberi cahaya kepada semua jasad-jasad di langit. Maka matahari adalah satu-satunya sumber cahaya yang Allah swt sediakan demi keadaan di dunia ini.

Firman Allah swt :

هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً

Dialah Allah tuhan yang telah menjadikan matahari itu bercahaya………..(surah Yunus(5))

Al-Imam AlQurtubi di dalam tafsirnya menjelaskan maksud ضِيَاءً
i) Matahari adalah jisim yang bercahaya.
ii) Matahari adalah jisim yang memberi cahaya kepada semua jasad-jasad di langit.
Maka mana-mana yang mendapat cahaya matahari disebut dengan نُورًا
Sebagaimana firman Allah swt :

وَالْقَمَرَ نُورًا

Ertinya : ..........Dan Bulan itu mendapat Cahaya.........(surah Yunus 5)
Bulan mendapat cahaya dari matahari untuk memperlihatkan kepada umat manusia perubahan wajah bulan pada kedudukan manzilah yang berbeza-beza. Ini perlu untuk penetapan dan perhitungan waktu bagi pembinaan takwim tahunan manusia, maka bulan sebagai alat pengukur waktu dengan perubahan wajah bulan akibat daripada penerimaan cahaya matahari yang berbeza-beza mengikut kedudukan manzilah bulan.


Kesuburan.

Bumi juga jasad yang mendapat sinaran cahaya matahari, manakala cahaya matahari adalah sumber tenaga kepada setiap benda hidup di bumi. Cahaya dan air adalah dua keperluan utama kepada setiap benda hidup, air dan cahaya saling memerlukan. Ada air akan tetapi tidak dapat cahaya maka tidak hadir kesuburan. Bumi yang kaya dengan sumber air akan tetapi terhalang mendapat cahaya matahari secukupnya akan mengundang tanah yang tandus.

Rasulallah saw bersabda, ertinya:

Akan datang ke atas manusia suatu zaman iaitu langit masih menurunkan hujan akan tetapi bumi tidak menumbuhkan akan sesuatu dari tanam-tanaman.



Musim.

Firman Allah swt. (surah Ar-Rahman (17)), ertinya :

Dialah Allah tuhan yang mentadbir dua tempat terbenam matahari.

Al-Imam Al-Lausi berkata: Dua tempat terbit matahari itu ialah tempat terbit matahari dimusim panas dan tempat terbit matahari dimusim sejuk.

Al-Syeikh Abu Ali Al-Marzuki tokoh ilmuan islam zaman silam menjelaskan bahawa jarak dua tempat terbit matahari itu amat ketara kerana jarak antara keduanya ialah 47° iaitu 23.5° ke selatan khatulistiwa dan 23.5° ke utara khatulistiwa. Oleh itu mana-mana negara yang melepasi 23.5° kedudukan garis lintang akan mengalami 4 musim. Mana-mana negara yang berada kurang 23.5° kedudukan garis lintang tidak mengalami 4 musim, hanya sekadar 2 musim sahaja.

Pelantar Maghrib


Pada 2 Ogos 2008 ardul balad dengan tuan syeikh telah ditugaskan membuat kajian kenampakan Hilal di Baitul Hilal, Pasir Panjang, Perak. Kajian Kenampakan Hilal ini telah dilaksanakan oleh Bahagian Ukur dan Pemetaan Instun bermula dari tahun 2006. Dua tempat kajian telah dilaksanakan iaitu di Baitul Hilal, Pasir Panjang (tempat cerapan Hilal rasmi bagi negeri Perak) dan di Pelantar Rukyah Hilal di Institut Tanah dan Ukur Negara (sebagai tempat kajian cerapan hilal tanah tinggi)
Kenapa Kajian ini dilaksanakan?

Persidangan Hilal Negara-negara Islam di Istanbul pada tahun 1978 telah memberi impak yang positif dalam penggunaan kaedah-kaedah saintifik sebagai asas penentuan awal bulan di Malaysia. Syarat kenampakan anak bulan ini atau dikenali dengan Resolusi Istanbul (1978) telah menjadi asas pembaikan takwim hijri yang menggunakan jangkaan kenampakan anak bulan atau imkanur rukyah. Persidangan kedua Akademik Fekah Islam Sedunia di Jeddah pada tahun 1986 telah membuat ketetapan yang hampir sama, iaitu permulaan bulan hijri hendaklah berdasarkan rukyah dan hasil pengiraan astronomi yang menunjukkan anak bulan berada di atas ufuk dan boleh kelihatan.

Bermula tahun 1993, Negara-negara anggota MABIMS (Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura) bersepakat menerima-pakai kriteria Imkanur-Rukyah bagi menentukan awal Ramadhan dan awal Syawal, di mana sebelum matahari terbenam ijtimak (apabila bulan, bumi dan matahari berada di garisan atau longitud yang sama) telah berlaku pada 29hb Qamariah dan melalui perkiraan anak bulan dianggap boleh kelihatan sekiranya tidak terlindung oleh keadaan cuaca apabila kiraan memenuhi salah satu syarat-syarat berikut:



• Ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang daripada 2° dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3° atau

• Ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam (selepas ijtimak berlaku)

Menurut Baharuddin (2004) Justeru itu, rukyah dan hisab dalam konteks Malaysia hendaklah ditakrifkan sebagai penggunaan syarat kenampakan anak bulan dalam membuat justifikasi keputusan rukyah. Berdasarkan dalil-dalil daripada Al-Quran, hadith, pendapat para ulama dan hasil kajian tempatan, penentuan awal Ramadhan dan Syawal di malaysia telah dibuat bedasarkan kaedah Rukyah dan Hisab. Hukum yang digubal berdasarkan kaedah jamak, iaitu menggunakan semua dalia Al-Quran, hadith serta pendapat ulama.

Aktiviti melihat anak bulan tetap dipraktikkan. Selaian daripada merupakan sunnah Rasullah saw, melihat anak bulan juga merupakan penyelidikan takwim yang saintifik. Malahan telah sepakat ulama menyatakan bahawa melihat anak bulan pada setiap bulan adalah fardu kifayah (Hasbi 1989).


- Umur Hilal 26 jam
- Altitud 9°
- Masa 19 : 41
- 30 Rejab 1429 H
- 2 Ogos 2008

Thursday, August 7, 2008

SEMAK ARAH QIBLAT ANDA DI MANA-MANA ANDA BERADA


28 Mei akan tiba, seperti biasa bagi mereka yang ingin menyemak arah kiblat boleh lah melihat bayang-bayang sesuatu objek seperti yang diterangkan dalam fail yang disertakan. Akan datang pula pengkesahan pamiran Hari Falak Negeri Melaka dan pamiran Konvensyen Falak Negeri Sembilan sedang diolah ceritanya.


FENOMENA ISTIWA UTAMA MATAHARI DI KAABAH:

Peluang Menyemak Arah Qiblat

Kejadian matahari berada betul-betul di atas Kaabah terjadi dua kali setahun. Fenomena ini belaku pada 28 Mei kira-kira jam 5.16 petang dan pada 16 Julai kira-kira jam 5.28 petang (mengikut waktu piawai Malaysia). Ketika matahari istiwa di atas Kaabah, bayang objek tegak di seluruh dunia akan membetuli arah qiblat



Rajah 1 : Fenomena istiwa matahari di Kaabah

Ikutilah panduan berikut untuk menentukan arah kiblat dari tempat anda pada tarikh dan masa yang dinyatakan di atas:
• Pacakkan satu tiang di kawasan yang hendak di semak arah Qiblatnya.
• Pastikan tiang tersebut tegak dan lurus. Anda boleh menyemak ketegakannya dengan menggunakan sebarang pemberat yang diikat di hujung tiang berkenaan.
• Tempat yang anda pilih untuk tujuan ini hendaklah tidak terlindung dari sinaran matahari.



Rj.2 : Penggunaan bayang menentukan arah kiblat

Tepat pada masanya pada 28 Mei jam 5.16 petang atau 16 Julai jam 5.28 petang, bayang yang ditunjukkan oleh tiang tegak berkenaan, adalah bersamaan dengan arah Qiblat. Oleh kerana matahari berada di langit barat, bayang tiang akan jatuh ke arah timur, maka arah kiblat ialah arah yang bertentangan. Selain dari tiang yang anda pacakkan, anda juga boleh menggunakan tiang-tiang bendera, tiang-tiang lampu atau sisi- sisi rumah yang tegak untuk menyemak arah kiblat ketika itu.

Aminuddin Baki In Science & Technology

Pada 20 hingga 23 Mac 2008 Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki akan mengadakan Karnival hari terbuka Aminuddin Baki In Science & Technology, Jawatankuasa berkenaan telah menjemput Bahagian Ukur dan Pemetaan INSTUN bagi mengadakan pameran berkaitan Falak.

Di sini disertakan sebahagian dari gambar pada hari berkenaan.


Sessi Cerapan Langit Malam


C/hati kepada Ketua Bahagian Ukur & Pemetaan INSTUN


Bergambar dengan Norlina Alawi (perjuang nasib anak-anak kecil yang disisih akibat Aids)

BERITA DAN PERISTIWA MAC

Pada 17 hingga 19 Mac 2008 kursus Falak Syarie untuk Juruukur/Jurukartografi & Pegawai-Pegawai NRE telah dilaksanakan di INSTUN. Pada 18 Mac jam 9.00 hingga 11.30 malam telah dilaksanakan cerapan langit malam, pada malam itu peserta kursus berpelunag menyaksikan Planet Saturn.