Tuesday, September 8, 2009

GERHANA MATAHARI TOTAL DI HANGZHOU


GERHANA MATAHARI TOTAL DI HANGZHOU, CHINA.

Gerhana matahari penuh yang merupakan salah satu daripada bidang kajian ini adalah di antara fenomena alam yang paling menakjubkan. Gerhana matahari berlaku apabila Bulan beredar melalui di antara Bumi dan Matahari. Bayang Bulan akan jatuh ke atas Bumi dan seseorang individu yang berada di dalam bayang Bulan akan melihat Matahari ditutup oleh Bulan. Cahaya Matahari hilang dan tiba-tiba waktu siang menjadi malam. Hanya pada masa gerhana matahari penuh sahaja, merupakan satu-satunya peluang bagi ahli-ahli sains dan astronomi melakukan kajian terhadap atmosfera Matahari dari permukaan Bumi. Kajian terhadap atmosfera Matahari adalah penting bagi memahami sepenuhnya sifat-sifat fizik dan kejadiannya.

Fenomena gerhana matahari penuh jarang berlaku di Malaysia. Kali terakhir berlaku ialah pada tahun 1995 di Sabah dan yang akan datang pada tahun 2042 di Sabah dan Sarawak. Menurut fakta, gerhana matahari berlaku pada setiap tahun tetapi bukan setiap kali dapat dilihat di Malaysia. Oleh itu, kajian terhadap gerhana matahari perlu melibatkan perjalanan ke luar negara, ke kawasan di mana “bayang bulan” akan melaluinya

Gerhana matahari penuh yang berlaku di China pada 22hb Julai 2009 (Rabu). “Bayang Bulan” akan mula menyentuh permukaan Bumi di India Barat pada pukul 8:51 pagi (Waktu Malaysia) dan melalui Nepal, Bangladesh, Bhutan, Myanmar, China, seterusnya ke Lautan Pacifik. “Bayang Bulan” meniggalkan Bumi pada pukul 12:19 tengahari (Waktu Malaysia). Keseluruhan proses gerhana selama 3 jam 28 minit. Sepanjang perjalanan “bayang bulan” melalui permukaan Bumi, terdapat 2/3 melalui Lautan Pacifik, hanya 1/3 melalui kawasan daratan sahaja.

Satu keistimewaan gerhana matahari penuh tahun 2009 ini adalah masa totalitinya yang paling lama pada abad ke-21 ini iaitu sepanjang 5 minit 56 saat dan dapat dicerap di kawasan sekitar Hangzhou, China. Ini akan memberikan masa yang lebih bagi para ahli sains dan astronomi dari seluruh dunia untuk membuat cerapan dan mengambil data dengan lebih banyak.



Merujuk pada gambarajah di atas, garisan dan bulatan yang berwarna biru menunjukkan kawasan di mana fenomena gerhana matahari penuh dapat dilihat. Pada setiap posisi bulatan biru itu bersertakan label bagi menunjukkan masa dan selang masa totaliti. Semakin timur seseorang individu itu berada dalam kawasan berwarna biru, semakin lama masa totaliti dapat dicerap. Dua bandar besar di China iaitu Shanghai dan Hangzhou, berada pada kedudukan yang strategik dalam kawasan tersebut dan mempunyai masa totaliti paling lama sepanjang “bayang bulan” bergerak di kawasan daratan iaitu selama kira-kira 5 minit 56 saat.

Perancangan Ekspedisi
Memandangkan masa totaliti gerhana matahari penuh 2009 ini agak panjang, Bahagian Ukur dan Pemetaan, Institut Tanah dan Ukur Negara telah bekerjasama dengan Makmal Fizik Angkasa, Jabatan Fizik, Universiti Malaya dan Kumpulan Penjejak Gerhana Kebangsaan (NETT) telah mengadakan ekspedisi cerapan Gerhana Matahari Penuh di Hangzhou, China bagi tujuan pengambilan data penyelidikan astronomi. Proses gerhana penuh (ketika totaliti) di sekitar kawasan Hangzhou adalah lebih daripada 5 minit.

No comments: