Tuesday, June 14, 2011

SOLAT SUNAT GERHANA BULAN

SOLAT SUNAT GERHANA BULAN
Khutbah Gerhana Bulan
Sumber : Jabatan Agama Islam Selangor & Jabatan Mufti Negeri Perak
Susunan : Mahruzaman Misran


GERHANA BERLAKU BUKANLAH KEMURKAAN ALLAH

Ia bukanlah berlaku kerana kemurkaan Allah SWT, tetapi merupakan petanda kepada kebesaran kekuasaan Allah SWT. Ia juga berupaya menjadi peringatan kepada manusia tentang azab dan nikmat yang dijanjikan Allah SWT pada hambanya kerana fenomena gerhana ini sangat besar ertinya samada dari penghayatan iman dan sains. Ia bukan fenomena baru yang hanya berlaku pada akhir zaman ini tapi telah berlaku sejak ala mini dijadikan dan juga pada zaman Nabi SAW yang dikenali sebagai sebaik-baik kurun.
Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya :
“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian sesaorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah”

HUKUM SOLAT

Dalilnya:
Abu Mas’ud Al-Ansari beliau berkata:
Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya matahari dan rembulan (bulan) adalah dua di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya )kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk menakuti para hambaNya. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran kematian sesaorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kalian melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sampai hal yang menakukan itu hilang”

WAKTU SOLAT


Solat Kusuf adalah sunat Muakkad samada bagi orang bermukim atau bermusafir, merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan dan samada ditunaikan secara berjamaah atau bersendirian.
Bagi Solat Gerhana Bulan waktunya bermula apabila ternyata berlakunya gerhana bulan dan berakhir dengan hilang gerhana dan naik matahari. Tidak dikira dengan naik fajar atau jatuhnya pada malam dengan gerhananya. Sekiranya berlaku gerhana bulan ketika terbenamnya dan sebelum terbit fajar maka dibolehkan solat. Tetapi jika terbenamnya bulan sesudah terbit fajar, maka terdapat dua pendapat iaitu:
i) Qaul Qadim: Tidak ada solat gerhana kerana kekuasaan bulan telah hilang bila terbit fajar (subuh).
ii) Qaul Jadid: Ada solat gerhana kerana kakuasaan bulan masih ada sehinggalah terbit matahari (syuruk).
Didalam mazhab Syafie dibolehkan bersolat walaupun krtika berlaku gerhana tersebut adalah waktu tahrim.

JUMLAH RAKAAT


i. Solat gerhana dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ia adalah yang sekurang-kurangnya. Yang akmalnyad dilakukan dengan dua kali ruku’ dan dua kali qiyam, pada tiap-tiap satu rakaat dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.
ii. Yang terlebih akmal ialah dengan 2 rakaat, dengan 2 ruku’ dan qiyam bagi tiap-tiap satu rakaat dengan dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.
Solat dua rakaat:
Rakaat pertama :
1- Niat : (Sahaja aku solat sunat Gerhana Bulan dua rakaat kerana Allah Ta'ala) .
2- Membaca doa iftitah
3- Membaca surah Al-Fatihah
4- Membaca surah Al-Baqarah atau sekadar yang termampu atau mana-mana surah yang sederhana panjang.
5- Ruku' - membaca tasbih sekadar masa membaca 100 ayat atau sekadar yang termampu.
6- ‘Iktidal
7- Membaca surah Al-Fatihah
8- Membaca surah Ali ‘Imran atau sekadar yang mampu atau mana-mana surah yang sederhana panjang
9- Ruku' - membaca tasbih sekadar masa membaca 80 ayat atau sekadar termampu .
10- ‘Iktidal
11- Sujud yang pertama - membaca tasbih sekadar masa 100 ayat atau sekadar termampu .
12- Duduk antara dua sujud
13- Sujud kedua - membaca tasbih sekadar masa membaca 80 ayat atau sekadar termampu .
Rakaat kedua:
1- Berdiri - Membaca surah Al-Fatihah
2- Membaca surah An-Nisa' atau surah lain sekadar yang termampu atau mana-mana surah lain yang sederhana panjang .
3- Ruku' - membaca tasbih sekadar masa membaca 70 ayat atau sekadar termampu .
4- ‘Iktidal
5- Membaca surah Al-Fatihah
6- Membaca surah Al-Maidah atau sekadar yang mampu atau mana-mana surah yang sederhana panjang .
7- Ruku' - membaca tasbih sekadar masa membaca 50 ayat atau sekadar yang mampu .
8- ‘Iktidal
9- Sujud yang pertama - membaca tasbih sekadar masa 70 ayat atau sekadar yang mampu.
10- Duduk antara dua sujud
11- Sujud kedua - membaca tasbih sekadar masa 50 ayat atau sekadar yang mampu
12- Membaca tahiyat akhir
13- Memberi salam.

* Sekiranya tidak mampu membaca surah-surah yang panjang adalah dicadangkan surah-surah yang berikut :
Rakaat pertama : Suratul A'la
Suratul-Ghasiah
Rakaat kedua : Suratud Dhuha
Suratul-Insyirah (Alam Nasyrah)

Selepas solat sunat dibaca khutbah :


Khutbah kerana gerhana ini dilakukan dua kali dengan mengikut rukun-rukunnya seperti yang terdapat dalam Khutbah Jumaat. Khutbah gerhana tidak dikehendaki bertakbir seperti khutbah hari raya, walau bagaimana pun dua khutbah bukanlah menjadi syarat bagi sah Solat Gerhana.

KHUTBAH GERHANA BULAN
Kaum muslimin dan muslimat yang berbahagia,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Bukan taqwa yang hanya diucapkan di bibir semata-mata, tetapi taqwa yang dinyatakan di dalam ucapan dan dibuktikan di dalam perbuatan. Iaitu segala ucapan dan perbuatan kita sentiasa berpegang dan berlandaskan apa yang telah disyariatkan oIeh Allah melalui agama yang lurus, iaitu agama Islam. Kerana sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah hanyalah agama Islam.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Taqwa itu di sini" .
Sambil menunjukkan ke dadanya 3 kali.
Hadhirin dan hadhirat yang dikasihi,
Apabila kita perhatikan segala yang terjadi baik di langit mahu pun di bumi, kesemuanya itu menunjukkan betapa besarnya kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala. Untuk itu menjadikan orang-orang yang beriman agar sentiasa mengingati betapa kejadian langit dan bumi yang diciptakan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala bukanlah perkara yang sia-sia, tetapi sebaliknya penciptaan Allah Subhanahu Wata'ala tersebut adalah penuh hikmah, hal ini telah dijelaskan dalam Al-Quran sebagai berikut :
Sekiranya kedudukan bumi berubah, perjalanan siang, malam, tahun dan musim turut berubah. Dengan kecondongan bumi sebanyak 23 .5 darjah, Allah telah memelihara sistem empat musim : musim panas, sejuk, bunga dan luruh.
Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 190:
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran siang dan malam, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal" .
Salah satu tanda kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala dalam peredaran bulan, matahari dan bumi, adalah Gerhana Bulan. Gerhana berlaku ketika fasa purnama (bulan penuh) di mana bumi berada sesatah dengan garisan bulan dan matahari. Ketika itu cahaya matahari yang biasanya sampai sepenuhnya ke bulan menjadi terhalang oIeh bumi. Tompokan gelap di permukaan bulan ketika berlakunya gerhana sebenarnya adalah bayang-bayang bumi yang jatuh di permukaan bulan. Gerhana penuh berlaku, apabila keseluruhan jasad bulan memasuki dalam kawasan umbra. Ketika itu bulan kelihatan terapung-apung di angkasa dalam keadaan tidak bercahaya. Pemerhati-pemerhati di bumi akan dapat melihat warna bulan ketika ini berwarna merah tembaga, sebagai kesan pembalikan cahaya dari luar kawasan umbra.
Pada malam ini kita berkumpul untuk menghayati kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala dan menunaikan solat Gerhana Bulan kerana mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. :
"Wahai manusia, sesungguhnya Gerhana Matahari dan Bulan kedua-duanya merupakan daripada tanda-tanda kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala, yang Allah perlihatkan kepada hamba-hamba-Nya, maka apabila kamu melihat berlaku perkara itu, hendaklah segera berlindung melakukan solat".
Solat sunat Gerhana Bulan hukumnya adalah sunat muakkad, disyariatkan pada tahun kelima hijrah. Di antara tujuan solat ini disyariatkan adalah supaya orang Islam kembali dan bermunajat kepada ‘Azza Wajalla agar dihindarkan daripada bala' dan dikembalikan cahaya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Muslim bermaksud:
"Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala. Kedua-duanya tidak gerhana disebabkan kematian seseorang dan kerana hidupnya seseorang. OIeh itu, apabila melihat gerhana berlaku, maka bersolat dan berdoalah sehingga hilang apa yang berlaku (menimpa) kamu iaitu bala' kegelapan".
Di samping itu, dengan adanya gerhana ini hendaklah dijadikan pelajaran bagi kita, bahawa kita yang kini dalam keadaan sihat wal'afiat, tidak mustahil pada waktu-waktu tertentu juga akan ditimpa musibah, maka kita manfaatkanlah waktu umur kita sebaik-baiknya, untuk beribadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan berusaha mencari bekal sebagai persiapan di saat kita menemui Allah kelak. Hal ini memang telah disabdakan oIeh Rasulullah s.a.w.:
"Rebutlah lima perkara sebelum kedatangan lima perkara yang lain iaitu: Masa hidupmu sebelum datang ajalmu. Masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu. Masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu. Masa mudamu sebelum datang masa tuamu. Masa kayamu sebelum datang masa fakirmu".(Rawahul Baihaqi)
Sementara umur yang ada ini, marilah kita gunakan dengan melakukan kebaikan dan kebajikan. Perbanyakkanlah bersedekah, kerana bersedekah dapat menolak bala' dengan menambahkan ganjaran pahala dan keluasan rezeki. Orang yang bersedekah akan mendapat perlindungan Allah daripada api neraka. Sesungguhnya dengan melakukan kebaikan juga dianggap sebagai sedekah, begitu juga menahan diri daripada melakukan kejahatan juga sebagai sedekah.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Atas setiap orang Islam itu sedekah. Lalu sahabat bertanya: Ya Nabiyyallah, bagaimana mereka yang tidak ada yang hendak disedekahkan?. Jawab Baginda: Ia bekerja dengan dua tangannya lalu memberi manfaat kepada dirinya, dan ia bersedekah kepada orang lain. Sahabat bertanya lagi: Jika ia tidak ada? jawab Baginda: Membantu orang berhajat yang sangat memerlukan. Mereka bertanya seterusnya, Jika tidak ada? jawab Baginda: Maka hendaklah melakukan segala kebajikan dan menahan diri daripada melakukan kejahatan".(Rawahul Bukhari) .
Muslimin dan muslimat yang dirahmati,
Menginsafi bahawa dunia ini semakin berusia dan ajal kita tidak akan diketahui bila akan tiba, marilah kita segera bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Di samping menyesali dosa-dosa yang telah lalu dan berazam untuk tidak mengulanginya pada masa akan datang.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah At-Tahrim ayat 8:
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah (meminta dihapuskan dosa kamu) dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Tuhan akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai".
Begitulah hendaknya kita benar-benar memanfaatkan kesempatan yang ada dengan sebaik-baiknya, untuk bertaqarrub kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Semoga kita dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya sehingga mampu untuk menjalankan segala perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga gerhana ini akan menjadikan kita lebih bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala serta terhindar berlakunya berbagai perkara yang tidak diingini. Amin.
"Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakkal". (At-Taubah : 51) .

KHUTBAH KEDUA


Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

CERAPAN/RAKAMAN GERHANA BULAN PENUH 16 JUN 2011

CERAPAN / RAKAMAN
GERHANA BULAN PENUH (TOTAL LUNAR ECLIPSE)
16 JUN 2011
Institut Tanah & Ukur Negara

PENDAHULUAN
Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) sebuah instiusi latihan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang menjalankan Latihan/Kursus dalam disiplin Ukur dan Pemetaan juga Perundangan Tanah yang beropersi di kampusnya di Tanjung Malim Perak. Di dalam bidang ukur dan pemetaan sains astronomi adalah di antara cabang bidang ini yang agak penting.
Melalui Seksyen Astronomi, Bahagian Ukur dan Pemetaan, Institut Tanah dan Ukur Negara, selain menyediakan kursus di dalam bidang Astronomi seksyen ini juga terlibat dengan beberapa kajian antaranya Kajian Rukyah di tanah tinggi dan kajian rukyah di Baitul Hilal di Pasir Panjang, Perak (tapak rasmi cerapan Hilal negeri Perak) juga membuat kajian bagi Astrofotografi.



GERHANA BULAN PENUH PADA 16 JUN 2011 (14 REJAB 1432H)
Bumi dan bulan akan membentuk bayang apabila disinari oleh matahari. Bayang yang terbentuk adalah cukup panjang. Bila bulan beredar mengelilingi bumi dan merentas bayang bumi, cahaya matahari akan terhalang daripada terpancar terus ke atas permukaan bulan. Gerhana yang terhasil adalah gerhana bulan. Gerhana bulan hanya berlaku ketika bulan purnama sahaja dan bukannya ketika fasa-fasa bulan yang lain. Ini kerana pada ketika purnama bulan, bumi dan matahari dalam keadaan segaris.

Bayang yang terhasil oleh bumi adalah empat kali lebih panjang daripada bulan kerana perbezaan dari segi saiz kedua-dua. Panjang fizikal bayang yang terhasil dapat dikira dari jarak bumi dan bulan dari matahari. Oleh kerana panjang bayang bumi adalah terlalu panjang dan lebar maka bulan dengan senang dapat memasuki ruang bayang bumi.

Bayang bumi yang terbentuk adalah terdiri daripada dua bahagian iaitu Penumbra dan Umbra. Penumbra adalah ruang bayang bahagian luar dan tidak menghalang cahaya matahari sepenuhnya daripada jatuh ke atas permukaan bulan, manakala ruang umbra adalah bahagian bayang bumi yang tengah dan menghalang terus cahaya matahari daripada sampai ke bulan. Seperti juga gerhana matahari, gerhana bulan juga mempunyai sifat gerhana penuh atau separa. Ianya bergantung kepada ruang bayang yang manakah telah dilalui oleh bulan tersebut. Gerhana separa bulan adalah apabila hanya melalui kawasan penumbra. Gerhana penuh bulan pula adalah apabila bulan melalui kawasan umbra.

Matahari adalah sebagai suatu sfera yang memancarkan cahaya ke semua arah. Selain daripada bahagian umbra, terdapat sedikit cahaya yang terbias. Dalam ruang tiga dimensi, umbra adalah satu kon di mana tapak kon itu adalah bumi dan hujungnya menuju ke bulan, manakala penumbra pula adalah kon yang terbentuk hujungnya antara matahari dan bumi, kon itu bertapak pada suatu jarak yang jauh.

Saiz umbra adalah bergantung kepada saiz bumi dan jaraknya dari matahari. Sebagai satu yang menjadi persoalan dalam meramalkan kejadian gerhana yang berlaku, adakah bayang umbra bumi itu cukup panjang untuk menutupi permukaan bulan.

Pada awal pagi 16 Jun 2011 nanti, penduduk di Malaysia berpeluang menyaksikan Gerhana Bulan Penuh sekali lagi. Ia akan bermula dari jam 1.22 pagi, yang mana ketika itu, Bulan baru sahaja memasuki kawasan bayang-bayang penumbra. Kemudian ia akan memasuki kawasan bayang-bayang umbra pada jam 2.22 pagi.

Fasa Gerhana Penuh secara rasminya akan bermula pada jam 3.21 pagi sehinggalah 5.02 pagi. Kemuncak gerhana ialah pada jam 4.12 pagi. Yang menarik gerhana kali ini ialah laluan Bulan agak hampir dengan garisan tengah bayang-bayang umbra.
Berikut adalah data gerhana yang dikira menerusi perisian Skymap Pro untuk waktu tempatan Malaysia.

Moon enters penumbra: 16 Jun 2011 01:22:52
Moon enters umbra: 16 Jun 2011 02:22:24
Start of totality: 16 Jun 2011 03:21:57
Maximum eclipse: 16 Jun 2011 04:12:24
End of totality: 16 Jun 2011 05:02:50
Moon leaves umbra: 16 Jun 2011 06:02:22
Moon leaves penumbra: 16 Jun 2011 07:02:02

Umbral magnitude: 1.705
Penumbral magnitude: 2.712

Duration of total phase: 1h 40m 52s
Duration of umbral phase: 3h 39m 58s
Duration of penumbral phase: 5h 39m 10s

PERANCANGAN CERAPAN
Pihak Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) adalah berminat untuk menjalankan kerjasama dengan lain-lain Jabatan termasuk Institut Tanah dan Ukur Negara dalam menjalankan program “Rakaman Imej dan Cerapan Gerhana Bulan Penuh Secara Maya Menggunakan Facebook”. Oleh itu beberapa siri gerakkerja telah disusun bagi memastikan program ini Berjaya.

1. 25 hingga 26 Mei 2011 Bengkel latihan cerapan/rakaman (semua agensi yang terlibat akan diberi penerangan kaedah dan tujuan program cerpan gerhana bulan penuh)Tempat di Mes Pusat Angkasa Negara, Sungai Lang. Banting, Selangor
2. 7 Jun 2011-Persiapan/pemilihan lokasi bagi latihan cerpan di tapak cerapan masing-masing (Mini observatory INSTUN)
3. 8 Jun 2011 Sesi latihan Cerapan serentak ditempat/lokasi cerapan, dan online maklumat cerapan serentak. (waktu cerapan 8:00 malam hingga 9:00 malam – berada dilokasi cerapan jam 6.00petang)di Mini observatory INSTUN
4. 13 Jun 2011 Sesi latihan Cerapan serentak ditempat/lokasi cerapan, dan online maklumat cerapan serentak. (waktu cerapan 8:00 malam hingga 9:00 malam – berada dilokasi cerapan jam 6.00petang)di Mini observatory INSTUN
5. 15 Jun 2011 Sesi latihan Cerapan serentak ditempat/lokasi cerapan, dan online maklumat cerapan serentak. (waktu cerapan 2:00 pagi hingga 4:00 pagi – berada dilokasi cerapan pada 12.00 malam pada 14 Jun 2011) Mini observatory INSTUN
6. 16 Jun 2011 Sesi Cerapan Gerhana Bulan Penuh serentak ditempat/lokasi cerapan, dan online maklumat cerapan serentak. (waktu cerapan 1:00 pagi hingga 7:00 pagi - berada dilokasi cerapan pada 12.00 malam pada 15 Jun 2011)di Mini observatory INSTUN


KAEDAH CERAPAN / RAKAMAN GERHANA BULAN PENUH

Cerapan bagi aktiviti ini akan menggunakan Teleskop Pembiasan (Refrector Telescope) 102mm berjenama Orion, teleskop ini akan dilletak di atas mount EQ6 yang berada di mini obesvertory. Rakaman gerhana bulan penuh ini akan menggunakan Kamera Canon EOS 450D yang dilekapkan kepada teleskop dengan menggunakan Camera Adapter .

Rakaman akan dibuat menggunakan kaedah Remote Capture with Live View iaitu antara fungsi yang ada dalam EOS Utility, dimana rakaman akan dibuat terus kepada komputer. Melalui EOS Utility ini kawalan aperture, shutter speed, ISO dan remote shooting akan dikawal terus oleh papan kekunci komputer.

Melalui kaedah Live View ini ianya membolehkan kita melaksanakan real time compostion dan juga precision focus setting. Perkara ini sangat berguna bagi merakamkan imej bulan.
Imej rakaman akan terus dibuat editing dan disimpan dalam folder. Imej ini kemudiannya akan dikongsi bersama dalam halaman facebook ‘Malaysian Lunar Eclipse’. Perkongsian maklumat ini akan terus dapat dilihat oleh masyarakat yang melayari halaman berkenaan.

Sekitar Latihan Gerhana Bulan Penuh 2011

foto bulan dengan teleskop Celestron 16 inci



foto bulan 13 Jun 2011 dengan teleskop 102mm


foto latihan 8 Jun 2011 di mini observatory INSTUN



foto latihan di Banting, Selangor 25 mei 2011



foto latihan di Banting, Selangor










Program Gerhana Bulan Penuh 16 Jun 2011 di INSTUN